Jangan lukakan hati ibu anda dengan terlibat kegiatan rasuah, begitu pesanan mesej kempen antirasuah yang dilancarkan Sinar Harian.
Kempen dalam talian berjudul "Mak kata jangan" digerakkan Pasukan #RasuahBusters memaparkan tiga video dalam bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil.
Pada video itu, watak seorang ibu mendapat tahu anaknya menerima "duit belanja, duit kopi dan token" sebagai tanda terima kasih atas pertolongan.
Ini meremukkan hati ibu berkenaan yang menyalurkan kemarahannya terhadap kerja rumah yang sedang dibuat mereka.
Pada video bahasa Melayu watak ibu sedang membasuh baju, video bahasa Cina pula si ibu menggosok baju, manakala video bahasa Tamil watak ibu sedang menyediakan masakan.
Pengerusi Kumpulan Karangkraf Hussamuddin Yaacob pada kenyataan berkata kempen itu mengingatkan orang ramai supaya tidak mengecewakan ibu mereka.
"Ibu adalah amat istimewa. Mereka sanggup mengorbankan segala kemahuan sendiri demi memenuhi kehendak kita, kita tidak perlu bersusah payah mendapatkan kasih dan sayang seorang ibu...
"Kami ingin menjadikan ‘Mak Kata Jangan’ sebagai budaya dan rutin dalam kita mencegah diri dari mengambil atau memberi rasuah kebiasaan.
"Sebaik berdepan dengan peluang dan kemungkinan melakukan salah laku rasuah, ingatkan diri kita bahawa “Mak Kata Jangan”. Bukan sekadar itu, Mak Kata Jangan juga boleh menjadi peringatan kita kepada orang lain sekiranya mereka pula ditawarkan dengan rasuah," katanya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki ketika melancarkan kempen ini berkata kerjasama antara media dan suruhanjaya itu perlu diteruskan.
Ini, katanya untuk menyedarkan bahawa melawan rasuah merupakan tanggungjawab semua orang.