Denda RM500,000 terhadap Malaysiakini atas kesalahan menghina mahkamah berhubung komen pembacanya adalah hukuman yang wajar untuk kepentingan awam, menurut penghakiman Mahkamah Persekutuan.
Menurut salinan penghakiman penuh bagi kes tersebut, hukuman itu akan menghalang pihak lain daripada melakukan perkara sama melibatkan komen pembaca.
"Pada pandangan kami, hukuman yang wajar adalah untuk kepentingan awam dengan dua cara. Ia boleh menghalang keinginan untuk melakukan jenayah di mana hukumannya tidak berat, atau ia boleh menghalang pesalah daripada mengulangi jenayah sama.
"Bukan sahaja berkaitan setiap jenayah, tetapi berkaitan setiap pesalah. Mahkamah sentiasa ada hak dan tanggungjawab untuk bersikap lembut atau keras," kata ketua panel hakim, Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf.
Rohana berkata, tahap penghinaan dalam kes Malaysiakini, yang melibatkan dakwaan tak berasas berkaitan korupsi, adalah jauh lebih berat berbanding kes menghina mahkamah lain yang dibawa ke Mahkamah Persekutuan.
"Bahasa yang digunakan dan dakwaan yang dibuat melangkaui sebarang sempadan kesopanan (decency). Ia menyasarkan kehakiman secara keseluruhan dan dakwaan liar yang ketua hakim korup.
"Komen tersebut yang diterbitkan oleh responden pertama (Malaysiakini) telah mencemarkan nama baik kehakiman secara keseluruhan dan menjatuhkan perjalanan pentadbiran keadilan, menjejaskan keyakinan awam, dan menyinggung maruah, integriti dan kesaksamaan kehakiman.
"Selepas menimbang faktor peringanan seperti yang dihujahkan responden berkaitan tahap kesalahan yang dilakukan, hukuman yang diberikan mestilah tidak boleh terlalu ringan.
"Kepentingan awam memerlukan hukuman yang bersifat pencegahan (deterrent sentence) dijatuhkan terhadap responden pertama. Maka kami berpandangan denda RM500,000 adalah wajar," katanya.
Selain Rohana, anggota panel hakim lain yang membuat keputusan majoriti adalah Hakim Besar Mahkamah Tinggi Malaya, Azahar Mohamed; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abang Iskandar Abang Hashim; dan hakim Mahkamah Persekutuan, Mohd Zawawi Salleh, Nallini Pathmanathan, Vernon Ong Lam Kiat dan Abdul Rahman Sebli.
Pada 19 Feb lalu, panel tujuh hakim yang dipengerusikan Rohana menyampaikan keputusan majoriti 6-1 dengan hakim yang tidak bersetuju adalah Nallini Pathmanathan.
Ini kali pertama Malaysiakini dihadapkan dengan pertuduhan itu sejak ditubuhkan 21 tahun lalu.
Pada hari tersebut, Malaysiakini melancarkan kempen meraih dana dan berjaya mengumpul jumlah melebihi jumlah denda RM500,000.
Malaysiakini membayar denda tersebut pada 23 Feb lalu.
Baca ringkasan penghakiman MINORITI dan MAJORITI: