Pekebun Orang Asli di Kampung Char, Pos Hendrop, di Gua Musang bimbang selepas sebahagian tanaman pisang yang diusahakan mereka dimusnahkan sekumpulan gajah, awal pagi Isnin lepas.
Jemau Alang, 53, berkata lima ekor gajah telah memasuki kebun berkeluasan lapan hektar itu dan memusnahkan 1,000 daripada 5,000 pokok pisang, dalam kejadian dipercayai berlaku antara satu pagi hingga empat pagi.
Katanya, kebun tersebut yang diusahakan bersama tiga ahli keluarganya tiga tahun lepas, mula mengeluarkan hasil sejak enam bulan lalu.
"Ketika masuk ke kebun untuk menebang pisang, kami melihat 1,000 daripada 5,000 pokok yang ditanam musnah angkara gajah. Kami mengambil keputusan untuk segera pulang ke rumah kerana bimbang dengan keselamatan kemungkinan gajah masih berada di lokasi berhampiran.
"Kami anggarkan kerugian kira-kira RM10,000 kerana tidak sempat menebang baki 4,000 pokok yang sudah mengeluarkan hasil,” katanya ketika ditemui pemberita, di sana hari ini.
Jemau berkata mengikut rancangan awal, mereka bercadang untuk menanam pokok pisang di tanah seluas dua hektar lagi, namun akibat kejadian ini hasrat itu terpaksa ditangguhkan.
"Masih terkejut dengan kejadian ini, hasrat terpaksa ditangguhkan dahulu sehingga pihak berkuasa datang menghalau gajah liar terbabit," katanya.
Sementara itu, Badrul Nizam Nazrul Anjang, 27, berkata mereka sudah memasang pelita di sepanjang jalan masuk ke kebun pisang itu namun gagal untuk menghalau gajah.
"Kaedah yang digunakan tidak berkesan apabila serangan itu berlaku. Rasa kecewa juga kerana kebun pisang yang diusahakan bersama bapa mentua (Jemau Alang) paling teruk dimusnahkan gajah,” katanya.
-Bernama