Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP Bangi sokong gesaan buka semula pawagam
Diterbitkan:  Mar 2, 2021 11:25 AM
Dikemaskini: 3:25 AM

Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming menggesa kerajaan membenarkan pembukaan semula panggung wayang di Malaysia.

Ini setelah hampir setahun pihak berkuasa menutup operasi susulan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Dengan kebanyakan premis komersil dibenarkan beroperasi bawah protokol pencegahan Covid-19 yang ketat, kata Ong, pertimbangan serupa turut boleh digunakan untuk pawagam.

“Dengan memaksa pawagam terus tutup, kerajaan bukan sahaja memudaratkan kerja pengusaha pawagam (termasuk ramai B40 yang bekerja sebagai pekerja pembersihan dan pembantu di pawagam), tetapi juga membahayakan industri filem tempatan.

“Pembuat filem tidak akan berani membuat penggambaran filem jika mereka tidak tahu bila filem mereka boleh ditayangkan di pawagam,” kata Ong dalam satu kenyataan hari ini.

Hari ini, kerajaan dijangka mengumumkan sama ada PKP - yang dijadualkan tamat pada 4 Mac untuk Lembah Klang, Melaka, Pulau Pinang dan Johor - akan dilanjutkan atau tidak.

Oleh itu, Ong menggesa kerajaan mengemas kini prosedur semasanya bagi membenarkan pawagam dibuka semula di Malaysia.

“Mungkin ramai masih bimbang hendak pergi pawagam kerana ia melibatkan duduk di ruang tertutup untuk jangka masa lama.

“Tetapi sama juga dengan berada di dalam kapal terbang untuk perjalanan yang jauh, tetapi penerbangan luar negara yang lebih daripada dua jam masih dibenarkan,” katanya.

Ong turut memetik syor daripada pakar penyakit berjangkit berkenaan langkah keselamatan di dalam pawagam, yang katanya, telahpun dipatuhi oleh pengusaha pawagam dan penonton filem.

Ini termasuklah memakai pelitup muka sepanjang masa, tidak bercakap-cakap, minum atau makan, dan duduk selang satu kerusi.

“Jika kerajaan mahu lebih ketat lagi, mereka boleh minta penonton tidak ketawa (semasa menonton komedi) atau menjerit (ketika menonton filem seram).

“Pengusaha pawagam turut harus membuktikan kepada kerajaan bahawa sistem pendingin hawa mampu menapis dan membersihkan udara dalam setiap pawagam,” katanya.

Tiga rangkaian pawagan utama - GSC, TGV dan MBO - telah mengumumkan langkah lebih ketat sejak pertengahan tahun lepas, dengan harapan kebenaran beroperasi semula akand iberikan Julai tahun lepas.

Bagaimanapun, pembukaan semula yang singkat di beberapa pawagam terpilih pada Disember tahun lalu, sekali lagi terganggu oleh PKP kedua.

Minggu lepas, Persatuan Pemamer Filem Malaysia (Mafe) turut membangkitkan berkenaan ketidakadilan dalam kebenaran terhadap sektor bukan penting, seperti gimnasium dan spa untuk kembali beroperasi, sedangkan pawagam terus ditutup semasa PKP.

Mafe melaporkan industri pawagam Malaysia mengalami 90 peratus kerugian dalam pendapatan, iaitu kerugian lebih RM500 juta berbanding tahun lalu. 


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS