Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lebih 5 sindiket dadah dipercayai berselindung di belakang orang kenamaan
Diterbitkan:  Mar 1, 2021 6:39 PM
Dikemaskini: 10:40 AM

Polis mengenal pasti lebih lima sindiket dadah yang dipercayai berselindung di sebalik status orang kenamaan termasuk ‘Tan Sri’, ‘Datuk Seri’ dan 'Datuk’ setakat ini, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Abdul Hamid berkata siasatan rapi sedang dijalankan bagi mendapatkan bukti yang benar-benar mengaitkan individu terbabit dengan kegiatan berkenaan dan setakat ini pihaknya telah melakukan rampasan dadah bernilai berbilion ringgit membabitkan sindiket tersebut.

"Setiap minggu akan tercatat satu atau dua sindiket seluruh negara. Saya difahamkan terdapat lebih daripada lima sindiket yang didalangi oleh orang kenamaan ini tadi, jadi ini bukan amaran kosong,” katanya pada sidang media selepas Upacara Penutupan Kursus Asas Konstabel Orang Asli PDRM Siri 1/2020 di Lapang Sasar Utama, Briged Utara PGA, Hulu Kinta, kira-kira 30 minit dari Ipoh, di sini hari ini.

Tegasnya usaha polis untuk membanteras sindiket dadah di negara ini menjadi sia-sia sekiranya hanya mereka yang di bawah sahaja ditangkap sedangkan yang “di atas” terlepas.

"Sekiranya kita mempunyai maklumat mereka yang menjadi dalang bergelar Datuk, Datuk Seri atau Tan Sri menggerakkan sindiket dadah atau menjadi tauke dadah, kita ambil tindakan,” katanya, menambah dia mahu membuka mata masyarakat bahawa ancaman dadah tersebut adalah serius kerana turut membabitkan anggota dan pegawai polis.

Pada masa sama, Abdul Hamid berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik menghadapi masalah kekurangan anggota yang perlu ditangani segera bagi memastikan usaha memerangi dadah dapat dijalankan dengan lebih berkesan.

Terdahulu hari ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Razarudin Husain dilaporkan berkata tiga individu bergelar Tan Sri dan Datuk yang disyaki menjadi dalang kartel dadah antarabangsa tidak terbabit dengan politik, sebaliknya menjalankan perniagaan yang sah namun mempunyai kaitan dengan dadah.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS