Menteri Kesihatan Dr Adham Baba menjelaskan, wanita hamil akan dibenarkan mengambil vaksin Covid-19 namun tertakluk kepada penilaian risiko yang dilakukan oleh perunding penjagaan kesihatan masing-masing.
“Pemberian vaksin Covid-19 boleh dipertimbangkan jika faedah vaksinasi melebihi apa-apa risiko pada penerima vaksin dan janin dalam kandungan.
“Vaksinasi Covid-19 semasa mengandung juga boleh dipertimbangkan sekiranya risiko pendedahan adalah tinggi dan sukar dielakkan,” kata Adham dalam satu sidang media di Putrajaya bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.
Katanya, petugas barisan hadapan yang mengandung akan termasuk dalam kategori yang layak.
Adham, selaku ketua bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19
(JKJAV) menambah, penilaian risiko sama juga dapat dilakukan oleh ibu atau wanita yang ingin hamil.
Menurutnya, tindakan itu sejajar dengan nasihat terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berhubung wanita mengandung yang menerima vaksin.
WHO menyatakan, hanya wanita mengandung yang terdedah dengan wabak Covid-19 menerusi tempat kerja atau mempunyai masalah kesihatan sehingga akan menyebabkan komplikasi ekoran wabak itu wajar mengambil vaksin.
Selain itu, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) pula dilaporkan berkata, vaksin sewajarnya tersedia buat wanita hamil namun harus menyerahkan keputusan kepada mereka sama ada hendak mengambil vaksin atau tidak.