Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bilut, Lee Chin Chen sedang disiasat berhubung kenyataannya yang mempersoalkan kehadiran anggota polis dan tentera membawa senjata ke tokong Cina di Labuan semasa operasi pengawasan Tahun Baru Cina baru-baru ini.
Ketika dihubungi, Lee mengatakan dia telah dipanggil ke balai polis daerah Sentul pada 1 Mac, untuk siasatan yang berkaitan dengan catatan di Facebooknya awal bulan ini.
"Saya diberitahu bahawa siasatan akan dilakukan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Saya tidak diberitahu siapa yang telah membuat laporan polis mengenai kenyataan saya," katanya kepada Malaysiakini.
Lee berkata, dia akan ditemani oleh Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, yang juga seorang peguam.
Pada 14 Feb, hari ketiga Tahun Baru Cina, beberapa media berbahasa Cina melaporkan sepasukan anggota polis dan tentera membuat pengawasan di tokong Huat Choo Kong di Labuan.
Dalam catatan yang dibuat dalam bahasa Cina, Lee menggambarkan tindakan anggota keselamatan membawa senjata sebagai "berlebihan, tidak sopan, dan tidak sensitif".
Dia juga turut menggesa permohonan maaf daripada Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.
Kenyataan itu juga disiarkan dalam bahasa Melayu di laman Facebook "DAP Untuk Semua", yang mengundang banyak komen yang membela polis dan angkatan tentera.
Antara lain, pengguna media sosial berkata anggota keselamatan juga membawa senjata di rumah ibadat lain.
Lee sebelum ini mengatakan bahawa pembantunya telah membuat laporan polis terhadap laman web yang menurutnya salah tafsir kenyataannya untuk menimbulkan salah faham antara kaum.