mk-logo
Berita
Maszlee gesa Asyraf minta maaf atau kena saman
Diterbitkan:  Feb 26, 2021 1:56 PM
Dikemaskini: 6:11 AM

Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik berkata dia bersedia untuk menyaman Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki kerana mendakwa kerajaan Pakatan Harapan telah mengagung-agungkan pihak komunis melalui petikan dalam buku teks Sejarah Tingkatan 4.

Maszlee, yang juga ahli parlimen Simpang Renggam, menuntut Asyraf mengemukakan permintaan maaf secara terbuka setelah Kementerian Pendidikan (KPM) menjelaskan semalam bahawa perubahan dalam buku teks berlaku pada bulan April 2018, ketika Malaysia masih berada di bawah pemerintahan Umno-BN.

"Saya telah mendapat nasihat daripada peguam saya dan mengarahkan peguam saya untuk menghantar surat tuntutan kepada Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi di atas kenyataan fitnah yang dikeluarkan," katanya pada satu hantaran di media sosial.

KPM berkata buku teks tersebut telah diteliti, disemak dan diperakui oleh panel Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah KPM pada 24 April 2018, yang terdiri daripada tujuh pakar sejarah daripada pelbagai pengkhususan dan kaum.


BACA BERKAITAN:

Pemuda Umno dakwa buku sejarah agungkan komunis, gesa betulkan

Dakwa buku sejarah agungkan komunis - Maszlee sekolahkan Asyraf


Maszlee hari ini berkata rakyat Malaysia muak dengan budaya politik sebegini yang boleh menggugat perpaduan kaum.

"Budaya politik fitnah jahat ini perlu dihentikan kerana ia sedikit pun tidak menguntungkan rakyat.

"Sepatutnya sekarang ahli politik perlu fokus bantu rakyat dan memulakan budaya politik khidmat, bukan mencari salah, menuduh dan memfitnah sesuka hati.

"Saya harap tindakan ini menyedarkan semua pihak, tidak kira dari parti mana, budaya fitnah jahat berunsur perkauman perlu segera dihentikan, apatah lagi ia melibatkan pendidikan negara, pendidikan anak-anak kita," katanya lagi.

Asyraf menuduh PH demikian berdasarkan dua muka surat dalam buku teks Sejarah Tingkatan 4.

Ia berkenaan peranan gerakan nasionalis Melayu radikal dalam perjuangan kemerdekaan dan perjuangan Tentera Pembebasan Rakyat Tanah Melayu anti-Jepun (MPAJA) menentang penjajahan kuasa Asia itu ketika perang dunia kedua.

Maszlee menjelaskan proses penulisan buku teks itu sudah bermula pada tahun 2017 dan ketika itu menteri pendidikan Mahdzir Khalid daripada parti Umno.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS