Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP: K'jaan perlu lantik jurucakap khas vaksin Covid-19
Diterbitkan:  Feb 26, 2021 10:55 AM
Dikemaskini: 2:55 AM

Anggota Parlimen Kepong Lim Lip Eng menggesa kerajaan supaya melantik seorang jurucakap khas bagi menjelaskan informasi berkenaan vaksin Covid-19.

Jelas Lim, ini bagi memastikan semua informasi dapat disampaikan dengan baik dan teratur tanpa sebarang percanggahan

“Walaupun program vaksinasi Covid-19 di negara kita sudahpun bermula, tetapi terdapat beberapa cabaran yang masih meresahkan banyak pihak.

“Cabaran utama yang kita perlu hadapi sekarang adalah masih ramai orang di luar sana yang tidak mempunyai keyakinan dan tidak percaya akan keberkesanan vaksin yang akan diberikan ini.

“Oleh itu, penting untuk pihak kerajaan memastikan informasi umum berkaitan vaksin ini disampaikan kepada rakyat dengan jelas,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

“Saya mencadangkan agar seorang jurucakap khas dilantik bagi menjelaskan informasi penting berkenaan vaksin Covid-19,” tambahnya.

Setakat ini, informasi berhubung vaksin Covid-19 disalurkan oleh Menteri Mosti yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah turut memberi kenyataan berhubung perkara itu.

“Apabila terlalu ramai individu seperti menteri-menteri berkata perihal isu yang sama, sudah pasti akan timbul kekeliruan.

“Justeru, pelantikan jurucakap khas ini akan memastikan kesemua informasi dapat disampaikan dengan baik dan teratur tanpa sebarang percanggahan.

"Semestinya, lebih ramai orang akan percaya dan yakin terhadap keberkesanan vaksin Covid-19,” kata Lim.

Dia turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Muhyiddin kerana telah menyuntik dos pertama vaksin Covid-19 sejurus memberi contoh positif kepada orang awam.

“Pertama sekali, ingin saya ucapkan tahniah kepada perdana menteri kerana telah mendapat suntikan dos pertama bagi vaksin Covid-19,” jelasnya.

Katanya, informasi berhubung proses vaksin penting untuk disampaikan kepada orang ramai.

“Proses penerimaan vaksin secara menyeluruh termasuk jenis vaksin, bilangan dos, waktu penerimaan, senarai keutamaan, dan banyak lagi perlu diterangkan dengan sebaik mungkin supaya orang ramai dapat membina kepercayaan mereka terhadap vaksin ini,” jelasnya.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilaksanakan dalam tiga fasa bermula 24 Feb lalu, dengan fasa satu dari Feb hingga April 2021 untuk kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang.

Fasa dua pula dari April hingga Ogos membabitkan kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya melibatkan 9.4 juta orang.

Manakala fasa tiga dari Mei 2021 hingga Feb 2022 untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas - warganegara dan bukan warganegara - dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS