Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ribuan tokoh agama beratur terima vaksin di Indonesia

GLOBAL | Ribuan tokoh agama di Indonesia hari ini yang terdiri daripada para imam, paderi, sami dan biarawati beratur bagi menerima dos pertama suntikan vaksin Covid-19.

Para sami berjubah oren, coklat dan maroon duduk di kerusi di tempat letak kereta di kawasan Masjid Istiqlal Jakarta bagi menerima suntikan vaksin Coronovac.

Program itu menyaksikan sejumlah besar penerima vaksin hadir sehingga memaksa pegawai kesihatan menolak permohonan sesetengah orang yang mahu menerima suntikan.

Vajra Sastra, seorang sami berusia 22 tahun, berkata dia berharap lebih ramai menerima vaksin dengan segera bagi membolehkan kuil dibuka semula bagi tujuan ibadat.

“Saya tidak ragu untuk melakukan vaksinasi kerana bagi saya dan komuniti kami, kami yakin pemerintah Indonesia telah memilih vaksin yang tepat," katanya.

Negara dengan majoriti Islam terbesar di dunia itu menerapkan kepelbagaian agama dalam sistem pemerintahan sekular.

Pihak berkuasa menjalankan program imunisasi terhadap lebih daripada 1,200 anggota kumpulan agama setiap hari selama seminggu.

Biarawati Katolik Regitia Hadi Kudas berkata dia kini boleh melanjutkan tugas gereja sambil tetap mengikuti prosedur kesihatan.

"Saya benar-benar baik dengan vaksin dan bersedia untuk kembali berkhidmat," kata wanita berusia 36 tahun itu.

Indonesia adalah salah satu negara pertama di Asia Tenggara yang memulakan kempen vaksinasi bagi membendung pandemik Covid-19 di negara itu.

Angka jangkitan di negara itu kini melebihi 1.3 juta, dengan jumlah kematian 35,000.

- Reuters


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS