Lapan anggota sebuah persatuan sekolah Cina di Jerantut didakwa dengan pertuduhan berhimpun secara haram pada 2019.
Perhimpunan dibuat di depan SJK(C) Sungai Jan pada 20 Ogos 2019 bagi membantah rancangan pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular.
Menurut kertas pertuduhan yang dibaca di Mahkamah Majistret Jerantut, lapan ahli Persatuan Sekolah Cina Bersatu Jerantut didakwa mengikut Seksyen 142 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 143 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara tidak lebih enam bulan atau denda, atau kedua-dua sekali.
Mereka mengaku tidak bersalah dan masing-masing dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000.
Majistret Nur Shafiqah Noorinda menetapkan 30 Mac untuk pengurusan kes.
Ketika dihubungi Malaysiakini, peguam Ng See Teong menyifatkan ikat jamin yang ditetapkan agak besar.
Menurutnya, pihak pendakwa pada mulanya meminta mahkamah menetapkan ikat jamin RM6,000, bagaimanapun mereka merayu agar jumlah ditetapkan sebanyak RM500.
"Anak guam kami memberi kerjasama penuh kepada polis. Mereka pemimpin masyarakat yang dikenali dan tidak mungkin lari. Ini ikat jamin dan bukannya denda, dan jumlah RM6,000 hanya untuk kes besar seperti kesalahan berkaitan dadah.
"Tambahan pula, seramai kira-kira 100 orang yang sertai himpunan. Mengapa hanya lapan orang yang didakwa?" katanya lagi.
'Kami bukan anti-Jawi atau anti-Melayu'
Salah seorang tertuduh yang juga pengerusi persatuan, Goh Say Aik berkata tujuan himpunan adalah untuk menyuarakan pandangan mereka dan tidak seharusnya dilihat sebagai perhimpunan haram.
"Kes ini bukan melibatkan kami sahaja. Jika kami didapati bersalah, ia akan beri kesan besar kepada mereka yang mengadakan perhimpunan di negara ini.
"Kami bukan antikerajaan, anti-Melayu dan anti-Jawi. Kami cuma tak ingin ia dimasukkan dalam kurikulum sekolah vernakular," katanya lagi.
Antara yang hadir memberi sokongan di mahkamah adalah Adun Tras, Chow Yu Hui dan Adun Tiang, Leong Yu Man, serta timbalan pengersui MCA Jerantut, Sam Cho Wah.