Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes projek Taman Rimba Kiara dibawa ke Mahkamah Persekutuan

Yayasan Wilayah Persekutuan syarikat pemaju Memang Perkasa Sdn Bhd memohon rayuan di Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan semula kebenaran pembangunan (DO) untuk bersama-sama membangunkan sebahagian Taman Rimba Kiara, Kuala Lumpur.

Peguam Alliff Benjamin Suhaimi yang mewakili penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) mengesahkan bahawa dua responden tersebut dan dua pihak lagi telah memfailkan permohonan untuk merayu di Mahkamah Persekutuan.

Dua lagi responden adalah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan persatuan yang mewakili penduduk rumah panjang di Taman Rimba Kiara.

Pada 27 Januari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Persatuan Penduduk TTDI untuk membatalkan DO untuk membangunkan kawasan taman awam tersebut.

Hari ini, Alliff berkata keempat-empat responden memfailkan permohonan agar Mahkamah Persekutuan menangguhkan keputusan Mahkamah Rayuan.

"Kami mendapat salinan permohonan itu awal minggu ini.

"Pengurusan kes dengan Pejabat Pendaftaran Mahkamah Persekutuan ditetapkan pada 25 Mac ini," katanya.

DBKL mengeluarkan DO tersebut pada 13 Julai 2017. Projek pembangunan itu pertama kali dicadangkan oleh bekas Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor pada 2016.

Ia melibatkan cadangan pembinaan kondominiu mewah 40 tingkat (1,082 unit) dan satu blok perumahan mampu milik 17 tingkat (204 unit).

Khalid Samad yang menjadi Menteri Wilayah Persekutuan ketika pentadbiran PH mencadangkan projek tersebut "dikecilkan".

Ketika itu, dia menyifatkannya sebagai "situasi menang-menang" kerana kerajaan tidak perlu membayar pampasan RM150 juta kepada syarikat pemaju.

Projek itu dikecilkan daripada 4.9 hektar kepada 3.2 hektar. Taman Rimba Kiara berkeluasan 10.1 hektar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS