Kementerian Kesihatan menegaskan pemberian vaksin Covid-19 akan dibuat mengikut keutamaan.
Kenyataan itu bagi menyangkal laporan Malaysiakini hari ini berhubung dakwaan yang Hospital Serdang merancang memasukkan pihak pengurusan kanan hospital dan pempengaruh (influencer) sebagai sebahagian penerima awal vaksin esok.
"Semakan awal dengan Hospital Serdang mendapati bahawa sebagai menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak buah di hospital, pihak Hospital bercadang untuk memberi vaksin Covid-19 kepada beberapa orang ketua jabatan klinikal selain anggota barisan hadapan (frontliners) yang lain," menurut KKM dalam kenyataan.
Menurut KKM lagi, ketua jabatan klinikal sememangnya terdedah kepada risiko jangkitan susulan kerap mempunyai kontak dengan pesakit mahupun warisa mereka ketika menjalankan tugas.
"Kami ingin menegaskan bahawa pemberian vaksin akan diberi mengikut keutamaan seperti yang telah dinyatakan sebelum ini. Isu memotong barisan bagi mendapatkan vaksin adalah tidak dibenarkan dan ia akan disiasat untuk tindakan," kata KKM lagi.
Terdahulu, beberapa sumber memberitahu Malaysiakini bahawa seramai tiga orang pempengaruh termasuk sebagai penerima vaksin esok, sebagai galakan bagi orang ramai menyertai Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Pada masa sama laporan itu turut menjelaskan tidak pasti sama ada mereka juga adalah petugas barisan depan dengan jumlah pengikut yang besar di media sosial, atau tidak.
Beberapa sumber, termasuk kakitangan hospital itu sendiri, turut mendakwa antara yang tersenarai sebagai penerima pertama vaksin adalah pegawai pengurusan kanan hospital yang tiada kontak secara terus dengan pesakit.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihak yang disebut sebagai pempengaruh tersebut adalah ketua jabatan klinikal sendiri.
"Ia bagi menggalakkan petugas barisan hadapan untuk mengambil vaksin.
"Tiada potong barisan (dalam menerima vaksin) dan tiada pempengaruh bukan perubatan akan dimasukkan, termasuk daripada kakitangan pentadbiran," katanya di Twitter.
Berdasarkan rancangan kerajaan, Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan menyasarkan untuk memvaksin sekurang-kurangnya 80 peratus warga dewasa di negara ini.
Ia akan dibuat secara tiga fasa sepanjang tempoh setahun:
Fasa 1 - Berjalan sehingga April. Melibatkan petugas perubatan, petugas penguatkuasaan, pegawai kebajikan, wakil rakyat dan guru yang mempunyai komorbiditi.
Fasa 2 - Bermula April hingga Ogos. Melibatkan 9.4 juta warga yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi. Mereka termasuk orang kelainan upaya, warga berusia 60 tahun ke atas dan mereka yang memiliki komorbiditi seperti penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.
Fasa 3 - Bermula Mei hingga Februari 2020. Melibatkan semua warga berusia 18 tahun ke atas.