Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Murid belum ada seragam boleh ke sekolah dengan pakaian sesuai
Diterbitkan:  Feb 24, 2021 3:28 PM
Dikemaskini: 7:31 AM

Kementerian Pendidikan (KPM) memberi kebenaran kepada murid yang belum mempunyai pakaian seragam sekolah untuk memakai pakaian yang sesuai, apabila sesi persekelohan dibuka semula bermula 1 Mac ini.

Bagaimanapun kelonggaran itu hanya sehingga 26 Mac, iaitu sehingga cuti pertengahan penggal, menurut KPM dalam kenyataan hari ini.

"Untuk makluman, murid perlu memakai seragam sekolah untuk hadir ke sekolah, seperti yang dinyatakan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas 3/1983: Pakaian Seragam Murid-murid Sekolah.

"Namun begitu, mengambil kira keadaan semasa, KPM ingin memaklumkan murid yang belum mempunyai seragam sekolah diberi kebenaran memakai pakaian yang sesuai dan kemas serta sopan untuk hadir ke sekolah.

"Kebenaran ini diberi mulai 1 Mac hingga 26 Mac 2021, iaitu sehingga cuti pertengahan penggal persekolahan tahun 2021," kata KPM.

Dengan kelonggaran tersebut, kata KPM lagi, diharap semua murid dapat kembali ke sekolah bagi mengikuti pembelajaran secara bersemuka.

Pada 19 Feb lalu, Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan pembukaan sesi persekolahan secara berperingkat bermula Mac ini.

KENYATAAN MEDIA PEMAKAIAN PAKAIAN SERAGAM SEKOLAH

Posted by Kementerian Pendidikan Malaysia on Selasa, 23 Februari 2021

Pengumuman itu dibuat dua hari selepas pelancaran Didik TV, iaitu saluran pendidikan bagi membantu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Menurut Radzi, persekolahan bagi murid prasekolah, tahun satu dan tahun dua akan bermula pada 1 Mac, manakala untuk tahun tiga, empat, lima dan enam pula bermula 8 Mac. Pelajar sekolah menengah sesi pula akan mula bersekolah bermula 4 dan 5 April.

Susulan itu, tujuh ahli Parlimen pembangkang dalam kenyataan bersama mengemukakan lima cadangan kepada KPM, termasuk kelonggaran berhubung seragam sekolah.

“Ramai ibu bapa yang telah terbeban dengan pandemik dan telah berbelanja besar untuk pendidikan anak-anak.

“Kelonggaran untuk berpakaian bebas harus diberikan sekurang-kurangnya untuk tahun ini memandangkan ada kebarangkalian sekolah akan ditutup kembali jika perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan semula," kata mereka


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS