Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKP 2.0 akan beri kesan ke atas ekonomi Malaysia - Moodys
Diterbitkan:  Feb 24, 2021 3:22 PM
Dikemaskini: 7:22 AM

Perintah Kawalan Pergerakan Kedua (PKP 2.0) di beberapa negeri ekonomi utama akan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia tahun ini, kata firma penyelidikan kewangan Moody's Analytics.

Menurut Ketua Ahli Ekonomi Asia Pasifik Moody’s, Dr Steve Cochrane, PKP, yang kini sedang dilaksanakan di kawasan ekonomi utama seperti Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor, merangkumi 60 peratus ekonomi Malaysia.

Lembah Klang sahaja memegang 40 peratus daripada aktiviti ekonomi Malaysia dan beliau menekankan bahawa Malaysia tidak berada dalam kemelesetan tetapi dasar-dasar yang ketat ini telah mewujudkan beberapa risiko kelembapan ekonomi.

“Terdapat beberapa negara yang paling saya khuatirkan. Kami telah mengklasifikasikan Malaysia sebagai antara yang berisiko. Malaysia menghadapi masalah untuk mengawal Covid-19 (penularan) selepas pada mulanya berusaha agak baik semasa awal pandemik.

''Filipina dan Indonesia adalah dua negara lain yang menghadapi masalah menguruskan Covid-19,'' katanya semasa webinar mengenai prospek ekonomi global dengan tumpuan terhadap pemulihan Asia Pasifik hari ini.

Filipina dan Indonesia menghadapi kesukaran untuk mengawal pandemik kerana kedua-dua negara itu agak lemah dalam menginstitusikan amalan penjarakan sosial yang ketat.

''Untuk satu jangka masa yang lama, Filipina sangat tegas membuat kawalan tetapi akhirnya, mereka mula melonggarkan beberapa langkah penjarakan sosial di sana, sementara itu, Indonesia tidak pernah benar-benar memulakan penjarakan sosial yang ketat,'' tambahnya.

Manakala, China, Vietnam, Taiwan dan New Zealand kini sedang melihat pengembangan ekonomi, disebabkan oleh pengurusan pandemik Covid-19 yang berkesan.

“Terdapat tiga faktor yang benar-benar penting yang membantu menyaksikan perbezaan di seluruh rantau Asia Pasifik; satunya adalah sejauh mana sesebuah negara menguruskan pandemik Covid-19, kedua adalah kaitan negara-negara berkenaan dengan corak perdagangan dunia serta rantaian bekalan dan ketiga adalah tindak balas fiskal, yang menjadi sangat penting di rantau ini,'' kata Cochrane.

Secara keseluruhan, Asia Pasifik adalah rantau yang paling kukuh di peringkat global dan bergerak ke hadapan, ia mendahului jalan dalam pemulihan ekonomi daripada pandemik Covid-19.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS