Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan digesa jelaskan tindakan langgar perintah mahkamah isu tahanan Myanmar

Ahli parlimen pembangkang dan NGO menuntut jawapan kerajaan berhubung tindakan menghantar pulang tahanan Myanmar meskipun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terlah mengarahkan penangguhan.

Kumpulan terbabit juga meminta Putrajaya bersikap lebih telus dan mengembalikan akses bagi kumpulan hak asasi manusia untuk memasuki pusat tahanan imigresen.

Dalam sidang media dalam talian pagi tadi, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah mempersoalkan adakah terdapat kumpulan rentan yang dihantar pulang.

“Apakah ada anak-anak yang dihantar pulang dan dipisahkan dari ibu bapa mereka?

“Apakah ada beberapa pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang dihantar pulang? Pelarian yang mencari suaka - apakah mereka juga dihantar pulang?

"(Pertanyaan) Ini harus dijawab oleh kerajaan," katanya pada sidang media bersama dengan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dan NGO lain.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penangguhan sementara untuk menghalang kerajaan meneruskan penghantaran pulang kira-kira 1,200 pelarian Myanmar ke tanah air mereka pagi semalam.

Bagaimanapaun, Jabatan Imigresen membenarkan tiga kapal tentera laut Myanmar membawa pulang 1,086 orang dari pangkalan tentera laut Lumut, dengan Ketua Pengarahnya, Khairul Dzaimee Daud menegaskan mereka bukan daripada etnik Rohingya atau pencari suaka.

“Kesemua mereka yang dihantar pulang itu telah bersetuju untuk pulang secara sukarela tanpa paksaan mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini dilaporkan bahawa 1,200 warga Myanmar akan dihantar pulang tetapi Imegresen berkata hanya 1,086 yang dihantar kembali semalam.

Sementara itu, dalam sidang media yang sama Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto mempersoalkan nasib baki lagi 114 orang yang tinggal.

"Jadi siapa baki kumpulan itu? Di mana mereka sekarang?" soalnya.

Manakala Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mempersoalkan apakah persetujuan telah diperolehi dari mereka yang hendak dihantar pulang.

"Imigresen harus mengemukakan dokumen (bukti) dan mengakui bahawa individu tersebut memahami (alasan untuk dihantar pulang).

“Ia tidak boleh dalam bahasa lain tetapi bahasa ibunda individu yang berkenaan.

"(Jika) itu tidak berlaku ... bermakna kerajaan memaksa mereka dihantar pulang dan melanggar piagam Asean, mengenai amalan demokrasi dan urus tadbir baik - penghantaran pulang secara paksa pelarian atau pencari suaka ke negara di mana mereka mungkin akan mengalami penganiayaan," katanya.

Turut serta dalam sidang media itu ialah Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah, Ahli Parlimen Lumut, Hatta Ramli (Lumut), Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, Ahli Parlimen Bnadar Kucing, Kelvin Yii, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.

Manakala NGO yang terlibat pula diwakili Tenaganita, Inisiatif Utara-Selatan, Bersih, Persatuan Sahabat Wanita Selangor, dan Progressive Voice - sebuah NGO Myanmar yang berpusat di Thailand.

Kesemua mereka yang terlibat turut mendesak kerajaan memberikan UNHCR akses kepada tahanan imigresen untuk memastikan apakah terdapat pelarian dan pencari suaka.

Agensi pelarian antarabangsa dilarang memasuki depot tahanan sejak Ogos 2019 dan dengan itu tidak dapat mengesahkan kenyataan Jabatan Imigresen bahawa tidak ada pelarian yang dihantar pulang semalam.

Pengarah eksekutif Bersih, Yap Swee Seng meminta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Nasional (Suhakam) juga turut diberikan akses.

"Mengingat (bagaimana) proses penghantaran pulang benar-benar diselebungi kerahsiaan, tidak ada yang dapat memastikan bahawa tidak ada pelarian yang terlibat dalam pengusiran tersebut.

"Selain UNHCR, Suhakam juga harus diberi akses ke pusat-pusat penahanan Imegresen," katanya.

Dalam satu kenyataan hari ini, kumpulan aktivis Human Rights Watch (HRW) berkata Jabatan Imigresen telah membahayakan 1,086 nyawa dengan mengusir mereka kembali ke negara yang kini berada di bawah pemerintahan tentera.

Oleh itu, ia memerlukan "penyelidikan penuh" mengenai apakah ada pelarian di antara mereka yang dihantar pulang.

"Memandangkan tuntutan Malaysia sebelum ini bahawa tidak ada pemegang kad pelarian di antara mereka yang dijadualkan untuk dihantar pulang, jaminan Jabatan Imigresen tidak begitu meyakinkan.

"Tanpa penyiasatan penuh dan telus mengenai penghantaran pulang ini dan perintah yang membenarkan akses UNHCR ke semua tahanan, pelarian dan pencari suaka di Malaysia berisiko ditahan berpanjangan dan kembali ke penganiayaan," kata penasihat undang-undang HRW Asia Linda Lakhdhir.

Kerajaan Malaysia sebelum ini menyatakan "kebimbangan serius " terhadap rampasan kuasa di Myanmar.

Malaysia tidak mengiktiraf pelarian dan menganggap mereka sebagai pendatang tanpa dokumen yang sah.

Walaupun tidak mengiktiraf mereka, Malaysia menjadi tempat tinggal bagi kira-kira 154,000 pelarian dari Myanmar, selain pekerja asing tanpa dokumen.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS