Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kesan sampingan vaksin termasuk sakit kepala, bengkak, demam, menggigil
Diterbitkan:  Feb 23, 2021 5:52 PM
Dikemaskini: 9:52 AM

Kesan sampingan seperti sakit dan bengkak di tempat suntikan, keletihan, sakit kepala, demam dan menggigil adalah gejala biasa dialami penerima vaksin Covid-19 Moderna dan Pfizer-BioNtech, lapor Agensi Berita Xinhua memetik CNBC dalam laporan kesihatan baru-baru ini.

Mereka yang mengalami kesan sampingan itu boleh mengambil pil penahan sakit OTC untuk mengurangkan gejala, kata CNBC, merujuk saranan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS).

Menurut laporan itu adalah sesuatu yang biasa bagi tubuh manusia mengalami kesan sampingan kerana sistem imunisasi tubuh berfungsi untuk mempersiap dan melindunginya daripada virus menerusi proses "peradangan terkawal," semasa vaksin mRNA bertindak balas.

Bagi mengurangkan kesan sampingan yang mungkin sangat serius dalam beberapa kes, CDC AS berkata orang ramai boleh mengambil ubat penahan sakit OTC seperti ibuprofen, aspirin, antihistamin atau asetaminofen. Namun, agensi itu menyarankan mereka mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.

CDC AS bagaimanapun tidak menyokong pengambil pil tersebut sebelum menerima suntikan kerana ia boleh melemahkan tindak balas sistem imun terhadap vaksin.

Cara lain yang boleh digunakan untuk mengurangkan kesan sampingan termasuk tuam dengan kain lembap dan sejuk di tempat suntikan untuk menghilangkan rasa sakit, minum banyak air jika demam, dan memakai pakaian tipis.

Laporan itu menyatakan lebih ramai akan mula mengalami kesan sampingan selepas menerima suntikan kedua kerana suntikan pertama hanya merangsang tindak balas imun manakala yang kedua untuk meningkatkannya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS