Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Vaksin: Maklumat salah di kalangan Orang Asli perlu ditangani - KKM

Kementerian Kesihatan (KKM) komited untuk memastikan komuniti Orang Asli sedar akan kepentingan pengambilan vaksin Covid-19 untuk menangani wabak tersebut, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Maka, kata Noor Hisham, KKM akan terus mengadakan libat urus dengan komuniti itu untuk meningkatkan pemahaman mereka terhadap konsep vaksin dan manfaat mengambilnya, memandangkan ramai yang seperti mendapat maklumat salah berkenaannya.

"Pertamanya, saya kena jelaskan yang Orang Asli tak termasuk dalam fasa pertama (kumpulan) yang akan divaksin.

“KKM akan berusaha untuk meyakinkan komuniti tersebut tentang (konsep vaksin) melalui focus group (kumpulan bersasar).

“Memang benar, ramai telah terdedah dengan maklumat salah tentang vaksin,” katanya kepada Malaysiakini.

Noor Hisham berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi Jaring Perkampungan Orang Asli Johor Dolah Tekoi hari ini, yang Orang Asli tidak mahu termasuk dalam fasa pertama Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, dan menjadi "tikus makmal" untuk menilai keberkesanannya.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Juli Edo juga mengakui yang maklumat salah seperti itu sedang disebarkan di kalangan komuniti.

Pada masa sama dia berkata Orang Asli tidak akan menolak untuk mengambil vaksin kerana mereka sedar akan keperluannya.

"Jakoa juga sedar bahawa ada yang ragu-ragu terutama setelah mereka dipengaruhi melalui media sosial yang menghasut agar tidak mengambil vaksin," katanya.

Katanya lagi, Jakoa sedang berusaha untuk turun ke peringkat akar umbi komuniti itu dalam soal vaksin.

Minggu lalu, pengasas Koperasi Pembangunan Orang Asli Ramesh Arumugam Chettiar menggesa kerajaan agar memberi keutamaan kepada Orang Asli dalam program vaksin, dengan berkata komuniti itu tiada nutrisi menucukupi untuk melawan wabak tersebut secara natural.

Pada 20 Jan lalu pula, Ketua Kampung Orang Asli Bidi Ronggeng berkata, seramai 5,000 peneroka di Pos Brooke, Pos Hendrope dan Pos Tuel di Gua Musang, Kelantan telah bersetuju untuk menyertai program vaksin.

“Komuniti Orang Asli di sini tidak akan menolak vaksin kerana kerajaan melalui KKM telah mengesyorkan untuk mengambilnya, demi kebaikan kami," katanya.

Bagaimanapun, kebimbangan yang disuarakan pemimpin komuniti itu, antaranya Dolah, perlu ditangani. Ini kerana kenyataannya menunjukkan masih banyak yang perlu dilakukan.

“Memandangkan vaksin ini masih baru dan risikonya belum diketahui, tidak wajar jika Orang Asli yang menjadi sasaran eksperimen, bukannya menteri dan ahli politik.

“Jangan buat Orang Asli seperti tikus makmal walaupun Orang Asli bukanlah kumpulan yang benar-benar terdedah dengan penularan Covid-19 kerana mereka hanya tinggal dengan kelompok sendiri, terutama di perkampungan,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS