Seminggu telah berlalu sejak siasatan polis dilancarkan terhadap Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa atas tuduhan melanggar prosedur operasi standard (SOP) berhubung Covid-19.
Susulan itu, Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng mempersoalkan sama ada Jabatan Peguan Negara akan meneruskan pendakwaan.
"Adakah Jabatan Peguam Negara mengarahkan polis untuk menutup kes tersebut dan mengklasifikasikannya sebagai tindakan tindakan lanjut (NFA)?" soal Lim dalam satu kenyataan.
"Semua jenis bukti telah diserahkan kepada pihak polis yang menyiasat kes tersebut.
"Semua bukti juga datang dari individu yang hadir, termasuk menteri yang terlibat," kata Lim.
Annuar didakwa telah melanggar SOP di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) setelah gambar dia dan enam yang lain duduk di meja makan sama tular di media sosial.
Gambar itu dipercayai diambil semasa sebuah acara di Seri Petaling di ibu negara pada 13 Februari.
Lim mengatakan penganjur acara tersebut telah mengakui dan meminta maaf atas perkara berkenaan, sementara Annuar mengaku duduk sebentar di meja itu.
"Dengan bukti itu, tidak ada alasan untuk tidak segera dikenakan denda RM1,000," tegas Lim
Ketua Polis Kuala Lumpur Saiful Azly Kamaruddin pada hari Jumaat mengatakan bahawa kertas siasatan mengenai kes Annuar telah diserahkan ke ibu pejabat polis Bukit Aman untuk arahan selanjutnya.
Ketika ditanya mengapa polis tidak mengenakan kompaun terhadap Annuar seperti yang dipersoalkan oleh Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh, Saiful Azly dilaporkan enggan memberikan komen.
Mengulas lebih lanjut, Lim berkata sebarang kelewatan dalam kes Annuar akan meningkatkan persepsi masyarakat terhadap penguatkuasaan pilih kasih yang mensasarkan rakyat Malaysia biasa berbanding menteri.
Dia mengatakan hasil siasatan juga akan memberi duluan bagi pesalah PKP yang lain untuk merujuk kes mereka ke Jabatan Peguam Negara sebelum tindakan selanjutnya diambil.
"Sekiranya menteri diberi kesempatan (untuk merujuk kes mereka), orang awam juga berhak mendapat kesempatan yang sama," kata Lim.