Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kerajaan merancang untuk mengeluarkan pasport Covid-19 sebagai pengesahan terhadap individu yang sudah menerima vaksin itu, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

“Terdapat dua kaedah, iaitu pertama, melalui MySejahtera - kita boleh pamerkan dalam MySejahtera. Yang kedua kita akan buat secara fizikal (pasport vaksin).

“Kita perlu lihat juga bagaimana negara-negara lain boleh menerima dengan dengan pasport vaksin tersebut.

“(Dengan) Negara-negara lain, kita akan cuba untuk berunding, bagaimanakah kita boleh selaraskan pasport vaksin di peringkat antarabangsa,” katanya.

Bercakap pada sidang media selepas ketibaan penghantaran pertama vaksin Pfizer-BioNTech hari ini, Adham berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (Mosti) sedang memperhalusi cadangan berkenaan.

Gesaan agar sempadan antarabangsa dibuka dibuat bukan sahaja untuk menghidupkan kembali industri pelancongan, tetapi juga untuk membolehkan pasangan atau keluarga yang terpisah kembali bertemu, yang mana ada di kalangan mereka yang terpisah lebih hampir setahun.

Sementara itu, Adham berkata kerajaan akan melibat urus sektor swasta sebagai pemvaksin dalam fasa kedua dan ketiga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Pemvaksin (vaccinator) mestilah di kalangan mereka yang mempunyai sijil amalan dalam perubatan - jadi, doktor, jururawat, penolong pegawai perubatan, itu saja dibenarkan, termasuk doktor gigi.

“Tidak semua orang boleh memvaksin masyarakat. Untuk itu, pihak swasta juga kita dah libat-uruskan (engage) untuk melibatkan hospital swasta untuk memberikan vaksinasi.

“Kita ada hampir 240 hospital swasta, dan kita ada 8,000 hingga 9,000 pengamal perubatan am (general practitioner) dalam negara.

“Setakat ini kita telah pun memulakan rundingan dengan 3,000 pengamal perubatan am untuk memulakan aktiviti pemberian vaksin, tetapi dalam fasa kedua,” katanya.

Tambah Adham, peranan sektor swasta dan sukarelawan akan digiatkan pada fasa ketiga melibatkan semua penerima yang layak selain petugas barisan hadapan dan kumpulan rentan.

Fasa kedua dijadualkan bermula dari April hingga Ogos untuk warga emas berumur 60 tahun ke atas dan kumpulan rentan dengan isu morbiditi; sementara fasa ketiga pula dijadualkan bermula dari Mei hingga Februari 2022 untuk mereka yang berumur 18 tahun ke atas.

Pada Khamis, portal kesihatan CodeBlue melaporkan bahawa Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) - kumpulan doktor terbesar di negara ini - berkata kerajaan masih belum memulakan perbincangan rasmi berkenaan sama ada hospital dan klinik swasta turut termasuk dalam pemvaksinan. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS