Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PH minta timbang semula keputusan hantar balik 1,200 warga Myanmar
Diterbitkan:  Feb 21, 2021 12:24 PM
Dikemaskini: 4:30 AM

Pemimpin Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan Malaysia mempertimbang semula keputusan menghantar pulang 1,200 warga Myanmar.

PH berkata tindakan menghantar pulang pelarian ke zon konflik selepas konfrontasi masyarakat awam dengan pihak tentera tercetus, mungkin menjejaskan keselamatan pelarian.

"Sehingga pemerhati antarabangsa dapat mengesahkan keadaan sebenar di Myanmar telah selamat, Malaysia bertanggungjawab untuk memastikan nyawa-nyawa pelarian tersebut tidak terancam," kata mereka dalam kenyataan bersama.

Kenyataan itu dikeluarkan Presiden PKR, Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan pemimpin DAP, Lim Guan Eng.

Menurut mereka, Majlis Presiden PH sangat mengambil berat keadaan semasa di Myanmar selepas kudeta tentera yang dipimpin oleh general kanan Min Aung Hlaing pada 1 Feb lalu.

Rampasan kuasa itu menyaksikan hampir 500 pimpinan politik, aktivis dan penunjuk perasaan termasuk Aung San Suu Kyi ditahan di Myanmar.

Selain mengecam penahanan tersebut dan menggesa mereka dibebaskan, PH juga meminta juntera tentera Myanmar menghentikan peluru hidup dalam menghadapi penunjuk perasaan.

"Kerajaan Malaysia perlu mengecam kudeta tentera ini dan terus memberi tekanan melalui perbincangan membina sehingga semua tahanan politik dibebaskan dan demokrasi dikembalikan," tegas pemimpin PH.

Terdahulu, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) mendedahkan, sekurang-kurangnya enam pelarian yang berdaftar dengannya adalah antara 1,200 warga Myanmar yang akan dihantar pulang oleh Malaysia minggu depan, lapor Reuters.

Amerika Syarikat turut menyuarakan kebimbangan susulan rancangan itu bakal membahayakan nyawa tahanan. 

Sebelum ini dilaporkan tentera Myanmar menawarkan kapal tentera laut untuk membawa pulang warga mereka yang ditahan di Malaysia.

Semalam, dua orang terbunuh di kota Mandalay, Myanmar ketika polis dan tentera melepaskan tembakan untuk menyuraikan tunjuk perasaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS