Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penduduk bantah pemindahan haiwan terbiar dari Pak Mie Shelter
Diterbitkan:  Feb 21, 2021 10:07 AM
Dikemaskini: 2:07 AM

Lebih 700 penduduk di Kampung Kubang Jelai, Tokai, Kedah membantah usaha memindahkan 430 kucing dan anjing jalanan dari pusat pengurusan haiwan terbiar, Pak Mie Shelter di Jalan Tanjung Bendahara, Alor Setar ke sebuah gudang persendirian di kampung mereka esok.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Kampung Kubang Jelai Md Daud Rusdi Hassan, 62, berkata ini disebabkan majoriti penduduk di kampung itu beragama Islam.

Tambahnya, gudang tersebut juga berdekatan masjid dan penduduk bimbang sekiranya sisa buangan najis haiwan itu akan disalurkan tali air lembaga kemajuan pertanian muda (Mada) berhampiran kerana ia menjadi sumber air hampir 100 hektar sawah di kawasan itu.

“Pihak saya mendapat tahu bahawa Ustaz Ebit Lew mahu menyewa sebuah gudang di kampung ini menerusi akaun Facebook beliau malam semalam, kami semua terasa hati kerana penduduk di sini boleh dikatakan semuanya Islam.

"Walaupun gudang itu adalah hak persendirian seorang daripada penduduk kampung ini, namun kehadiran anjing pasti akan mengganggu penduduk dengan salakan serta bau kurang menyenangkan," katanya seperti dipetik portal Harian Metro.

Md Daud berkata demikian selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Mohd Hayati Othman, petang semalam.

Sampai je ke tempat baru anak-anak arwah Mak Intan menangis. "Mesti mak gembira ustaz. Terima kasih ustaz. Kami memang...

Posted by Ebit Lew on Wednesday, February 17, 2021

Pada 17 Feb lalu, pendakwah dermawan Ebit Lew, berkata dia menyewa sebuah gudang dengan bayaran RM4,300 sebulan untuk memindahkan haiwan-haiwan berkenaan.

Hal ini selepas pengasas Pak Mie Shelter Halijah Idris, yang dikenali sebagai Mak Intan meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada 10 Feb lalu selepas menghidap kanser ovari.

Mak Intan membangunkan Pak Mie Shelter bersama arwah suaminya, Muhammad Azmi Ismail di Alor Setar pada 1990.

Muhammad Azmi atau lebih dikenali sebagai Pak Mie menghembuskan nafas terakhirnya pada 2015 akibat strok.

Md Daud berkata, dia juga telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang 19 Feb lalu, namun pihaknya masih gagal menghubungi Lew bagi memaklumkan hal terbabit.

"Penduduk kampung juga akan membuat demonstrasi aman esok bagi membantah penempatan haiwan ini," katanya.

Sementara itu, Mohd Hayati menjelaskan, dia akan membangkitkan isu tersebut dalam mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri agar Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) agar memberi masa kepada kerajaan negeri mencari tempat baru.

Katanya, pemindahan itu dilakukan bagi memberi laluan kepada projek pembinaan loji rawatan kumbahan serantau dan paip pembetungan di Kota Setar.

Malaysiakini sedang berusaha untuk mendapatkan penjelasan Lew berhubung perkara terbabit. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS