Portal berita Malaysiakini didenda RM500,000 kerana kesalahan menghina mahkamah menerusi komen pembacanya.
Mahkamah Persekutuan menjatuhi hukuman itu semasa prosiding hari ini.
Sebelum ini Jabatan Peguam Negara memohon denda sebanyak RM200,000 terhadap Malaysiakini atas kesalahan menghina mahkamah.
Terdahulu dalam keputusan majoriti 6-1, hakim mendapati Malaysiakini bertanggungjawab atas penghinaan terhadap mahkamah menerusi komen pembacanya.
Bagaimanapun, keputusan majoriti memutuskan bahawa ketua editor portal berita berkenaan, Steven Gan tidak bersalah atas pertuduhan yang sama.
Panel tujuh hakim yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Rohana Yusuf menyampaikan keputusan majoriti 6-1, dengan hakim yang tidak bersetuju adalah hakim Mahkamah Persekutuan, P Nallini.
Ini adalah kali pertama Malaysiakini didakwa atas tuduhan menghina mahkamah sepanjang sejarah penubuhannya sejak 21 tahun lalu.
Pada 15 Jun tahun lalu, Peguam Negara, Idrus Harun mengemukakan permohonan menghina mahkamah terhadap portal berita tersebut.
Ketika menyampaikan keputusan hari ini, Rohana memutuskan bahawa mahkamah perlu mengambil kira tanggungjawabnya untuk memandang serius tindakan menghina mahkamah, yang akhirnya akan melemahkan sistem kehakiman di Malaysia.
Katanya, mahkamah tertinggi itu telah mempertimbangkan permohonan maaf yang diajukan oleh Malaysiakini, melalui ketua pegawai eksekutifnya, Premesh Chandran, di hadapan panel hakim.
Tambahnya panel hakim juga telah mempertimbangkan fakta bahawa portal berita itu telah memberikan kerjasama kepada pihak polis dan mahkamah berkaitan kes tersebut.
"Juga menjadi tanggungjawab masyarakat mengambil serius tindakan menghina mahkamah yang akhirnya melemahkan sistem keadilan di negara ini (Malaysia).
"Kenyataan yang menyinggung (komen berkenaan) telah tersebar luas di dalam dan luar negara, dan kandungannya bersifat palsu dan celaan, serta mengandungi tuduhan rasuah.
"Kami berpendapat bahawa denda RM500,000 adalah wajar.
"Kami memerintahkan denda oleh responden pertama dibayar dalam masa tiga hari mulai Isnin (minggu depan)," kata Rohana.
'Tamparan hebat dalam usaha perangi rasuah'
Mengulas keputusan mahkamah, Gan berkata Malaysiakini sangat kecewa dengan keputusan itu.
"Keputusan ini muncul dalam menghadapi landskap media baru yang sedang berubah dengan cepat di negara ini.
"Ini akan memberikan kesan dalam usaha mengutarakan isu-isu kepentingan awam dan ini memberikan tamparan hebat kepada kempen berterusan kami yang antara lain untuk memerangi rasuah," katanya.
Dia merujuk kepada komen yang menyinggung itu yang muncul dalam artikel bertarikh 9 Jun bertajuk 'CJ arahkan semua mahkamah beroperasi sepenuhnya mulai 1 Julai'.
"Beberapa bulan yang lalu, Ketua Hakim Negara berkata bahawa badan kehakiman tidak boleh dipersalahkan kerana menggurkan pertuduhan kerana pendakwa raya adalah individu yang bertanggung jawab untuk menarik balik tuduhan.
"Ramai rakyat Malaysia sangat kecewa dan bimbang dengan pertuduhan yang digugurkan dan sebilangan pembaca kami mungkin berlebihan dalam mengkritik keputusan tersebut dan menyerang sasaran yang salah," katanya.
Gan menambah dalam keadaan di mana setiap individu memiliki akaun media sosial, penting bagi kita untuk menjelaskan, mendidik dan menerangkan.
"Saya rasa keputusan yang dibuat terhadap kami dan denda besar yang telah dijatuhkan terhadap kami mungkin merupakan usaha bukan hanya menghukum kami tetapi menutup kami.
"Saya sangat kecewa. Jenayah apa yang dilakukan oleh Malaysiakini sehingga kami terpaksa membayar RM500,000 apabila ada individu yang dituduh menyalahgunakan kuasa untuk berjuta-juta dan berbilion-bilion ringgit masih bebas" katanya.