Beberapa pemerhati politik berpendapat, persidangan Dewan Rakyat boleh diteruskan, sekiranya anggota parlimen tidak mempunyai motif politik dan hanya memfokuskan isu rakyat.
Jelas penganalisis politik Azmi Hassan, masalah timbul apabila persidangan Parlimen digunakan untuk menekan keabsahan kerajaan yang didakwa sudah hilang majoriti.
“(Persidangan Parlimen) tak jadi masalah. Masalahnya apabila ia digunakan untuk tujuan politik bukan untuk semak dan imbang bagi tangani pandemik (Covid-19).
“[...] Tetapi untuk tekan perdana menteri supaya letak jawatan, bubar parlimen, (dcengan alasan) kerajaan tak cukup majoriti dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Tambah Azmi, sekiranya setiap anggota parlimen dapat mengemukakan surat akujanji untuk tidak membahas soal isu keabsahan kerajaan, maka tidak mustahil persidangan boleh diteruskan.
“Kalau ahli parlimen boleh buat surat akujanji supaya sidang diadakan dan mereka tidak akan biarkan ia gelumang dengan agenda politik. Jadi tak perlu digantung (persidangan Dewan Rakyat).
“Kita perlukan anggota parlimen untuk membahas isu kesihatan awam dan cara penyelesaian untuk tangani isu tersebut,” jelasnya.
Fokus isu Covid-19
Senada dengan Azmi, bekas pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Prof Dr Jeniri Amir, turut berpendapat, persidangan Parlimen boleh diadakan sekiranya wakil rakyat fokus untuk hanya membahaskan lima isu utama.
“Parlimen boleh diadakan sekiranya anggota parlimen hanya memfokuskan lima aspek iaitu isu Covid-19, keselamatan, pendidikan, rakyat, dan dasar,” jelasnya.
Kata Jeniri lagi, dia turut menasihati ahli parlimen supaya berhenti berbahas soal politik dan fokus kepada masalah rakyat terlebih dahulu.
“Umum tahu, sidang digantung kerana anggota parlimen ada agenda politik.
“Dengan keadaan sekarang, lebih elok mereka (wakil rakyat) dapat berhenti dan hanya fokus kepada rakyat, kalau halnya begitu, tiada masalah nak buat persidangan parlimen,” tambahnya.
Ketika ini, negara berada di bawah darurat susulan pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 12 Jan lalu bagi membendung pandemik Covid-19 di negara ini. Ia berkuat kuasa dari 11 Jan hingga 1 Ogos nanti.
Susulan itu, sidang parlimen, dewan undangan negeri (DUN) dan pilihan raya - termasuk pilihan raya umum, negeri atau kecil - tidak akan diadakan sepanjang perintah darurat berkuat kuasa.
Bagaimanapun, pengkritik menuduh Muhyiddin menggunakan darurat untuk terus berkuasa setelah didakwa hilang majoriti di Dewan Rakyat.
Perkembangan itu juga hadir ketika beberapa wakil rakyat Umno menarik semula sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Anggota Parlimen BN, Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang) sebelum ini mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan diikuti Ahmad Jazlan Yaakub (Machang) serta Nazri Aziz (Padang Rengas).
Sementara itu, Prof Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya menjelaskan, amat wajar sidang Dewan Rakyat dilaksanakan secepat mungkin.
Dia berkata demikian susulan keputusan kerajaan untuk membenarkan kebanyakan sektor ekonomi beroperasi.
“Rakyat sendiri berasa pelik kerana banyak pembukaan pelbagai sektor dibenarkan namun parlimen yang khusus 222 ahli parlimen tidak dibenarkan. Akibat daripada ini ramai beranggapan tindakan ini lebih bermotif politik.
“Justeru adalah wajar sidang parlimen sewajarnya dilaksanakan secepat mungkin kerana pelbagai isu perlu dibahaskan dalam situasi pandemik Covid-19 ini,” katanya.
Selain itu, Azman turut berpendapat, kerajaan boleh melakukan sidang Dewan Rakyat dalam talian sekiranya bimbang akan penularan Covid-19.
“Dengan kemudahan teknologi, ia bukanlah satu masalah.
“Sebaliknya jika tak mahu laksana sidang Parlimen yang akan timbulkan isu seperti perdana menteri dan Perikatan Nasional (PN) cuba elak berdepan isu keabsahan,” katanya.
Manakala, pemerhati politik Arif Anwar Lokmanol Hakim pula berkata, tiada masalah sekiranya kerajaan ingin meneruskan sidang Parlimen.
Katanya, meskipun parlimen kini ditangguhkan, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa perlu) 2021 membenarkan Yang di-Pertuan Agong mengadakan mesyuarat khas sebagaimana yang difikirkan baginda sebagai sesuai.
“Nak jalankan atau tak, tiada masalah. Tiada isu pun, sebab kalau ikutkan ordinan, bila Yang di-Pertuan Agong isytihar darurat ada klausa di mana Seri Paduka boleh mengadakan mesyuarat khas sekiranya bersesuaian.
“Tetapi ia terletak di tangan Muhyiddin, sama ada nak berbincang dengan jawatankuasa khas darurat atau tidak,”katanya.