Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Jawatan TPM untuk Umno bagi selamatkan k'jaan PN?

ULASAN | Isu jawatan timbalan perdana menteri berlegar kembali sejak seminggu dua ini. Pimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dikatakan telah bersedia memberikan jawatan itu kepada Umno.

Malah, difahamkan Umno akan membincangkan isu ini dalam masa terdekat dan bakal menentukan sama ada menerima atau tidak jawatan yang ditawarkan itu.

Usaha untuk memberikan Umno jawatan itu dibuat sebagai jalan terakhir pimpinan PN untuk menyelamatkan kerajaan yang dipercayai sudah hilang majoriti ekoran beberapa ahli parlimen BN menarik sokongan.

Setiausaha Agung Veteran Umno, Mustapha Yaakub (bawah) mengakui isu tawaran jawatan timbalan perdana menteri kepada Umno mula berlegar sejak dua minggu lalu.

Namun, bagi Mustapha jika benar tawaran itu, ia sudah tidak lagi relevan apatah lagi ketika ini negara berada dalam situasi "darurat kesihatan".

"Cerita ini berlegar sejak dua minggu ini. Secara logiknya tawaran itu tak relevan lagi di saat-saat ini.

"Ia tidak memberi apa-apa signifikan kepada penyelesaian kemelut hari ini. Saya tidak fikir Majlis Tertinggi (MT) Umno bersetuju dengan tawaran itu kalau ia betul," katanya.

Meskipun Mustapha melihat jawatan timbalan perdana menteri sudah tidak mampu untuk menyelamatkan hubungan antara Umno dan Bersatu.

Pengalisis politik Jeniri Amir berpendapat jawatan berkenaan sewajarnya disandang Umno sebagai sebuah "parti dominan" yang membolehkan kerajaan PN dibentuk.

Malah katanya, kewibawaan kepimpinan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi juga tercalar apabila pimpinan PN tidak memberikan kerusi berkenaan kepada Umno.

Jeniri Amir 

Suka atau tidak itu adalah pilihan terakhir yang ada pada PN untuk menyelamatkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Walaupun Muhyiddin telah berjanji untuk mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) sebaik situasi Covid-19 terkawal, namun persoalannya apakah Bersatu atau PN telah bersedia?

Berdasarkan situasi terkini hubungan Bersatu dengan Umno, agak sukar untuk melihat dua parti itu bersama dan agak mustahil mengelak pertembungan tiga penjuru.

Mahu tidak mahu PN perlu mencari formula terbaik untuk mengekalkan hubungan mereka dengan Umno, BN. Tanpa Umno, BN agak sukar untuk PN berdiri sendiri bagi membentuk kerajaan selepas PRU-15.

Begitu juga jika berlaku pertembungan tiga penjuru, serta kekuatan akar umbi pastinya kelebihan itu memihak Umno, BN.

Suka tidak suka pilihan terakhir adalah mengembalikan "hak Umno" dengan memberikan jawatan timbalan perdana menteri kepada Umno dan melayan parti itu secara adil seperti mana jumlah kerusi dimiliki mereka.


HASPAIZI ZAIN ialah wartawan Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian portal ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS