Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda Ikatan bantah tempoh PdPR 2.0 terlalu lama
Diterbitkan:  Feb 18, 2021 2:50 PM
Dikemaskini: 6:52 AM

Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menggesa kementerian pendidikan (KPM) memansuhkan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) versi 2.0.

Jelas timbalannya Shahir Adnan, dia melihat tempoh maksimum PdPR 2.0 terlalu panjang, tidak praktikal serta tidak realistik bagi pembelajaran dalam talian.

Justeru itu, berdasarkan aduan beberapa guru dan pelajar, DPIM berharap kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan PdPR yang hanya memakan masa selama satu jam atas talian.

“Cadangan KPM berkenaan PdPR 2.0 dengan tempoh yang panjang, bermula dari jam 7:30 pagi hingga 1 tengah hari, mengambil waktu selama 5 jam 30 minit, dilihat tidak praktikal dan realistik bagi pembelajaran secara atas talian.

“PdPR 1.0 memakan masa selama satu jam di atas talian, manakala selebihnya 2 jam adalah pembelajaran secara offline,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Berdasarkan panduan pelaksanaan jadual Waktu PdPR versi 2.0 di laman web KPM, jadual waktu yang dicadangkan bagi sekolah rendah bermula 7.30 pagi sehingga 1 tengah hari manakala bagi sekolah menengah rendah (tingkatan satu hingga tiga) bermula 7.30 pagi sehingga 2 petang.

Menerusi PdPR 2.0, guru akan menyampaikan kandungan mata pelajaran bagi 30 minit pertama, kemudian memperuntukkan 30 minit seterusnya untuk sesi latihan dan tutorial.

Guru juga perlu memperuntukkan waktu rehat pendek selama dua hingga lima minit pada setiap 30 minit sesi PdPR dan lima hingga 10 minit pada waktu peralihan mata pelajaran dengan meminta murid melakukan aktiviti seperti regangan atau senaman ringan.

Bagaimanapun, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) turut menyuarakan gesaan menangguhkan PdPR 2.0, susulan tempoh waktu pengajaran yang terlalu lama.

Mengulas lanjut, Shahir turut menyenaraikan antara sebab kerajaan harus mempertimbangkan pemansuhan PdPR 1.0.

Antaranya kekangan capaian internet pelajar khususnya yang tinggal di luar bandar serta kesan emosi guru yang tertekan kerana harus membuat persiapan rapi bagi mengajar dalam talian untuk tempoh lama.

Ketiga, pertimbangan harus diberikan kepada kesan pelaksanaan kepada ibu bapa. Bayangkan kegelisahan yang bakal dihadapi apabila terpaksa menguruskan empat atau lima orang anak yang mengikuti PdPR 2.0 dari jam 7:30 pagi hingga 1:30 tengah hari.

“Keadaan pembelajaran secara atas talian adalah berlainan dengan pembelajaran secara fizikal di sekolah,” jelas Shahir.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS