Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Runtuhan tebing Sg Kelantan ranapkan 4 rumah, sebuah Myvi

Sebuah lagi rumah penduduk musnah akibat tanah runtuh di Kampung Lorong Pohon Celagi, Pasir Mas semalam.

Ini menjadikan keseluruhan empat buah rumah dan sebuah kereta Perodua Myvi musnah dalam kejadian tersebut setakat ini.

Runtuhan terbaru membabitkan rumah yang terletak di tebing Sungai Kelantan itu, bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Shapawi Stapa, berkata, dua rumah runtuh semalam, manakala dua lagi malam tadi dengan yang terbaru berlaku sekitar jam 9 malam.

Menurutnya, terdapat dua buah rumah lagi berisiko dengan sebahagiannya sudah roboh kesan runtuhan tanah tersebut.

"Sehingga kini, pergerakan tanah masih aktif dan banyak retakan baru kelihatan di lokasi kejadian. Kita dapati runtuhan baru membabitkan kelebaran lebih tiga meter dari runtuhan semalam.

"Sehubungan itu, sehingga kini 98 penduduk membabitkan 48 keluarga sudah berpindah. Sebahagian besar mereka berpindah ke rumah keluarga dan tiga keluarga berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan kejadian itu membabitkan runtuhan jalan di tebing sungai sepanjang kira-kira 200 meter hingga 300 meter dalam kejadian awal pagi, semalam. 

Sementara itu tambah Shapawi, sebuah kereta jenis Perodua Myvi turut musnah apabila gagal dialihkan.

"Kebanyakan penduduk sempat menyelamatkan barang berharga sebelum kediaman mereka runtuh dalam kejadian itu.

"Cuma sebuah kereta Perodua Myvi gagal diselamatkan sebelum turut menjadi mangsa runtuhan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS