Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin memberi jaminan warga asing tanpa izin tidak akan ditangkap apabila mereka tampil untuk mendapatkan vaksin Covid-19.
Khairy berkata, kerajaan akan bekerjasama dengan pelbagai pihak seperti majikan, NGO dan kedutaan, bagi menggalakkan pekerja asing dan pelarian mendaftar untuk proses vaksinasi.
Dia percaya jaminan ini penting untuk memastikan imuniti kelompok dapat diraih.
"Kita akan berhubung dengan kedutaan, organisasi antarabangsa, pertubuhan masyarakat sivil dan NGO untuk membantu kita berhubung warga asing tanpa dokumen.
"Bagi membolehkan mereka divaksin dengan jaminan kita tidak akan menangkap atau menahan mereka.
"Saya fikir ini mesej paling penting yang perlu diberikan - yang mereka boleh tampil dengan bebas dan mereka akan yakin kerajaan akan beri vaksin kepada mereka dan tidak menahan mereka," katanya lagi, yang bertanggungjawab terhadap Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Kerajaan akan memberi vaksin secara percuma kepada semua yang mendaftarkan diri, tanpa mengira status kerakyatan mereka.
Dalam pada itu, Khairy berkata Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia akan mewujudkan sebuah "pelan pelaksanaan" untuk berhubung dengan warga asing - sama ada yang masuk secara sah mahupun tidak - berhubung program imunisasi.
"Bagi pekerja asing yang ada dokumen, kami akan bekerjasama dengan majikan mereka untuk memastikan majikan memberi maklumat mereka kepada kami.
"Ia agar kita boleh buat temu janji untuk mereka menerima vaksin.
"Kita perlu bina kepercayaan dalam komuniti ini agar mereka tampil ke depan secara sukarela dan kita boleh vaksin mereka," katanya lagi.
Mei lalu, pegawai imigresen menahan 586 pendatang asing tanpa dokumen yang tinggal di beberapa kawasan di Kuala Lumpur yang ditempatkan di bawah perintah kawalan pergerakan yang diperketatkan (PKPD) setelah merekodkan wabak Covid-19.
Saksi mengatakan bahawa pemeriksaan dari pintu ke pintu dilakukan dan mereka yang tidak mempunyai dokument dibawa dengan trak.
Pegawai imigresen juga menyerbu pasar di Petaling Jaya Old Town dan menangkap 200 pekerja tanpa dokumen sementara kawasan itu ditempatkan di bawah PKPD.
M’sia sebagai hab vaksin halal
Sementara itu, Khairy berkongsi bahawa pengeluar vaksin asing telah menyatakan minat untuk melabur di Malaysia.
Dia mengatakan mereka ingin membina kilang pembuatan untuk melayani pasaran halal dan serantau.
"Banyak pengeluar vaksin telah mendekati kami dengan hasrat meletakkan Malaysia sebagai hab untuk Asia Tenggara dan juga pasaran Muslim di seluruh dunia kerana adanya perakuan halal kita yang ketat dan dihormati.
"Ini dilihat sebagai nilai tambah bagi banyak pengeluar vaksin," katanya.
Menteri itu mengatakan bahawa dia telah membincangkan perkara itu dengan pihak dari Rusia dan India.