Pemuda Bersatu (Armada) menyokong sepenuhnya pelaksanaan undi 18 yang bakal diwartakan pada pertengahan tahun ini.
Justeru itu, Ketua Penerangannya Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, tiada pertikaian bahawa terdapat ahli partinya yang menolak pelaksanaan Undi 18 yang menurunkan had umur minimum pengundi.
“Undi 18 telah diangkat secara dasar sebagai agenda Armada sejak mula sehingga kini, justeru tiada pertikaian atas pendirian mana-mana kepimpinan Armada terkait undi 18.
“Hal yang menjadi masalah adalah apabila penjelasan Ketua Armada Nasional dimanipulasi oleh segelintir pihak apabila Ketua Armada Nasional, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menekankan perihal 'edukasi' (pendidikan) politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dia berkata demikian selepas terdapat laporan memetik Wan Fayhsal yang bercakap semasa dialog dalam talian di aplikasi Clubhouse, dikatakan mempersoalkan apa yang berlaku kepada undi 18 selain menyatakan rakyat Malaysia berusia 18 tahun belum bersedia untuk mengundi.
Bagaimanapun, Wan Fayhsal menafikan laporan tersebut dan menyatakan sokongan terhadap undi 18.
Mengulas lanjut, Mohd Ashraf menjelaskan, sejak awal perancangan undi 18, sudah terdapat beberapa pemahaman asas politik diberikan kepada anak muda.
Antaranya melalui Malaysia Future Leaders School (MFLS), Sekolah Rukun Negara dan juga beberapa program undi 18 di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum ini.
“Ini sejajar dengan hasrat kelulusan di peringkat Parlimen yang prihatin untuk melahirkan generasi yang lebih bertanggungjawab atas hak dan pilihannya bukan dek kerana peranan ‘populist’ semata di samping menanamkan ilmu demokrasi dan kenegaraan melibatkan entiti non-partisan,” katanya lagi.
Untuk rekod, Pada 25 Julai 2019, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 (Perkara 119) diluluskan di Dewan Negara dengan majoriti dua pertiga, 10 hari selepas diluluskan di Dewan Rakyat.
Dengan kelulusan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan itu, pilihan raya pada masa hadapan akan menyaksikan pengundi berusia 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon berbanding sebelum ini usia minimum adalah 21 tahun. Dengan undi 18 juga, pendaftaran pengundi akan dilakukan secara automatik.