Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tebing Sungai Kelantan runtuh, penduduk diarah berpindah

Penduduk di 10 buah rumah berhampiran Dataran Air Muleh, Kampung Pohon Celagi, Pasir Mas, diarah mengosongkan kediaman masing-masing susulan runtuhan tanah membabitkan raya raya di tebing Sungai Kelantan, awal pagi tadi.

Ia membabitkan runtuhan jalan kira-kira sepanjang 300 meter dengan kedalaman dianggarkan sehingga 100 meter.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Ketua Polis Daerah ACP Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, runtuhan itu berlaku sekitar jam 5.30 pagi selepas rekahan dikesan sejak petang semalam.

"Kejadian runtuhan tanah ini mengakibatkan sebuah rumah turut musnah dan sembilan buah lagi berisiko tinggi. Tiada kemalangan jiwa.

"Kita mengambil tindakan dengan menutup laluan masuk ke kawasan berisiko sejak petang semalam selepas terdapat kesan rekahan danmengarah penduduk berhampiran mengosongkan rumah mereka," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Tambahnya, pergerakan tanah dilihat masih berlaku, namun siasatan terperinci masih dijalankan oleh pihak berkuasa.

Terdahulu Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pasir Mas, Shapawi Stapa berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.08 minit pagi dan sepasukan anggota bergeas ke lokasi.

"Didapati runtuhan benteng di sepanjang jalan dianggarkan terdapat lapan buah rumah dijangkakan akan runtuh di sepanjang hakisan tanah.

"Kita mengambil tindakan dengan mengosongkan penghuni rumah di kawasan kejadian. Tiada mangsa terlibat tertimbus dilaporkan.

"Pemotongan bekalan elektrik juga terpaksa dilakukan," katanya.

Sementara itu seorang penduduk, Mohd Razali Harun, 60, dia sekeluarga dikejutkan dengan bunyi aneh sekitar jam 5.30 pagi.

"Kita terkejut sebab bunyi pelik seakan guruh, saya terus keluar tengok dan dapati jalan runtuh.

"Kami sekeluarga diarahkan berpindah kerana kedudukan rumah kami juga berhampiran lokasi runtuhan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS