Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MBM sasar pilih 10 orang 'penasihat anak muda' PM
Diterbitkan:  Feb 16, 2021 4:38 PM
Dikemaskini: 8:38 AM

Majlis Belia Malaysia (MBM) menyasarkan untuk memilih 10 rakyat Malaysia yang berumur tidak lebih 35 tahun untuk berkhidmat sebagai "penasihat anak muda" kepada perdana menteri, menurut presidennya Jufitri Joha.

Poster hebahan dari MBM dan Kementerian Belia dan Sukan pada mulanya menyatakan syarat umur minimum 15 tahun dan kelayakan akademik sekurang-kurangnya ijazah.

Bagaimanapun, ia menimbulkan persoalan di media sosial, termasuk daripada akitivis pendidikan dan pengasas Sekolah Alternatif Mukmin Nantang, yang menyatakan bahawa hanya pelajar di sekolahnya yang mengajar anak-anak tanpa kewarganegaraan yang boleh mempunyai "ijazah" pada umur 15 tahun bagi pendidikan alternatif.

Di Twitter, peguam Syahredzan Johan berkongsi poster itu dan berkata: "Walaupun anda masih tak boleh mengundi, anda boleh jadi penasihat anak muda bagi PM!"

Ketika dihubungi, Jufitri mengatakan bahawa poster asal yang dikongsi dalam talian adalah salah dan telah diperbetulkan untuk membuang syarat umur minimum.

Bagaimanapun, katanya, syarat memegang ijazah dikekalkan, yang bermakna calon akan terdiri daripada usia 21 tahun dan ke atas.

"Sewaktu ucapan saya mewakili MBM pada Hari Belia Negara (HBN) 15 Ogos 2020, MBM melontarkan idea perlunya wujud Kumpulan Penasihat Anak Muda kepada PM agar suara dan idea anak muda berkenaan polisi dan projek pembangunan negara didengar direct oleh PM.

"Mereka juga akan bekerja ke arah merealisasikan polisi dan projek tersebut," katanya kepada Malaysiakini.

"Selepas saya berucap PM sambut idea tersebut dan setuju mempunyai penasihat (anak muda)," kata Jufitri, sambil menambah bahawa MBM terinspirasi daripada inisiatif serupa yang diambil oleh Presiden Indonesia Joko Widodo yang melantik penasihat anak muda dari pelbagai latar belakang.

Jelas Jufitri, bagi peserta yang terpilih, mereka akan terdedah kepada proses pembuatan dasar dan tadbir urus sehari-hari, selain peluang untuk latihan tambahan di kedua-dua bidang.

Tidak seperti program latihan indsutri kerajaan masa lalu yang dikendalikan oleh Jabatan Perdana Menteri yang menempatkan peserta di pelbagai kementerian, Jufitri mengatakan MBM sebagai badan payung bagi organisasi belia berdaftar di Malaysia akan bertindak sebagai sekretariat penasihat belia.

"Ia bukan full time basis (sepenuh masa) tetapi ocassionally ada pertemuan berkala dan assigment (tugasan) yang akan diatur oleh sekretariat yang diketuai MBM.

"Uniknya MBM diberikan kepercayaan mengetuai sekretariat ini dan bukannya KBS supaya ia bergerak lebih bersifat NGO dan menumpukan kepada dasar dan kepimpinan.

"Kita tak mahu ia bersifat kosmetik tetapi mesti ada substance (kandungan) yang kuat.

"Kita open (buka) pemilihan ini agar semua belia yang berdaya saing dan credible boleh ada peluang memohon untuk berkhidmat pada negara," katanya.

Syarat-syarat lain untuk permohonan yang akan diterima sehingga 28 Februari adalah tidak mempunyai sabitan kes sebelumnya dan tidak diisytiharkan muflis.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS