Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bekas perdana menteri Najib Razak menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas Peguam Negara Tommy Thomas berhubung kandungan dalam memoirnya.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah mengesahkan perkara itu dengan berkata, mereka sedang menimbang kemungkinan untuk memfailkan saman menghina mahkamah terhadap Thomas.

Ia berhubung kandungan berkenaan pembunuhan Altantuya Shaariibuu dalam buku tersebut, katanya.

Terdahulu, Najib dilaporkan akan memfailkan saman fitnah terhadap Thomas jika dia tidak menarik kenyataan dalam memoirnya, bertajuk My Story: Justice in the Wilderness.

Dia juga menuntut ganti rugi RM10 juta dan “permohonan maaf” yang sebenar-benarnya yang akan ditentukan oleh peguam.

Bercakap dengan pemberita di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini, Shafee berkata pasukan peguam Najib sedang menimbang untuk menghantar surat tunjuk sebab kepada Thomas berhubung cadangan tindakan itu.

Menurut undang-undang, mana-mana pihak pada mulanya perlu menghantar surat tunjuk sebab berhubung sebarang tindakan hina mahkamah yang mungkin diambil.

Jika penerima tidak memberi maklum balas terhadap surat itu, atau balasannya tidak memuaskan, barulah pihak itu boleh memfailkan tindakan.

Menurut Shafee, kandungan berkaitan Altantuya dalam memoir itu bersamaan dengan menghina mahkamah kerana Najib tidak pernah disabitkan dalam mana-mana kes mahkamah.

Dalam perbicaraan yang menyabitkan dua bekas pegawai polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar itu, katanya lagi, mahkamah tidak pernah membabitkan Najib.

Dia juga merujuk keputusan Mahkamah persekutuan yang menolak permohonan semakan Azilah terhadap sabitan dan hukuman mati yang dijatuhkan kepadanya.

Dia mendakwa kenyataan Thomas dalam memoirnya boleh dianggap serangan langsung terhadap mahkamah.

Sementara itu, berkenaan saman fitnah terhadap Thomas, Shafee berkata pasukan peguam sedang membuat penambahbaikan dan akan memfailkannya selewat-lewatnya Jumaat ini.

Selain tindakan itu, bekas Peguam Negara Mohamed Apandi Ali dan bekas Peguam Cara III Mohamad Hanafiah Zakaria juga telah membuat laporan polis terhadap memoir Thomas.

Polis juga telah menerima lebih 100 laporan polis dan siasatan kini dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

Siasatan terhadap Thomas dibuat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas kesalahan fitnah, Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS