Semua anggota Parlimen dan Adun termasuk dalam golongan pertama yang akan menerima vaksin Covid-19.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, mereka akan menerimanya ketika fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, yang akan bermula 26 Feb ini.
Penerima fasa pertama yang lain adalah petugas barisan hadapan, iaitu kakitangan kesihatan dan penguatkuasaan.
"Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 telah meneliti perkara ini dan menetapkan mereka yang biasa berdamping rapat dengan masyarakat, turun ke bawah akar umbi, ialah ahli politik yang terdiri daripada ahli Parlimen dan Adun.
"Disebabkan bentuk kerja mereka, kita setuju agar ahli Parlimen dan Adun - kerajaan dan pembangkang - juga akan diberi vaksin ketika fasa pertama untuk membolehkan mereka menjalankan tugas dengan lebih berkesan dan selamat," katanya.
Muhyiddin memaklumkan perkara itu ketika sidang media selepas pelancaran buku panduan program imunisasi Covid-19 Kebangsaan, di Putrajaya hari ini.
Fasa pertama dijangka berjalan sehingga April.
Ia disusuli dengan fasa kedua yang berjalan sehingga Ogos. Fasa ini melibatkan 9.4 juta rakyat yang dikategorikan sebagai kumpulan berisiko tinggi. Mereka antaranya warga emas berusia 60 tahun ke atas, kalangan yang mengalamai masalah komorbiditi seperti penyakit kencing manis dan darah tinggi, serta golongan kelainan upaya.
Fasa ketiga pula bermula Mei hingga Februari 2022, melibatkan semua warga berusia 18 tahun ke atas.
Turut hadir dalam sidang media adalah Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.
Menurut Khairy, sebanyak 500,000 dos vaksin Pfizer-Biontech yang akan diterima untuk fasa pertama, 300,000 dos akan diperuntukkan kepada pekejer kesihatan manakala 200,000 dos untuk petugas barisan depan lain, seperti anggota keselamatan, ahli politik dan pegawai kebajikan.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata kerajaan terbuka untuk mempertimbang permintaan kumpulan lain, seperti media dan guru, untuk turut menyertai vaksinasi fasa pertama.
Dia berkata demikian ketika diminta mengulas permintaan yang dibuat Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) baru-baru ini.