Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SKMM sekat laman web Sugarbook
Diterbitkan:  Feb 16, 2021 12:06 AM
Dikemaskini: 4:16 PM

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyekat akses ke laman cari teman, Sugarbook hari ini selepas menyatakan ia akan menyiasat aplikasi berkenaan.

Laman web perkhidmatan itu didapati tidak dapat diakses melalui beberapa penyedia perkhidmatan internet, manakala penyedia lain memaparkan notis SKMM yang menyatakan: "Laman web ini tidak tersedia di Malaysia kerana melanggar undang-undang negara".

Setakat ini, SKMM belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai sekatan tersebut.

Sugarbook menawarkan perkhidmatan mencari teman antara wanita muda yang digelar sebagai 'sugarbaby' dan lelaki yang lebih tua.

Minggu lalu, Sugarbook menjadi perhatian selepas mendakwa semakin ramai wanita Malaysia terutamanya penuntut 10 universiti yang menawarkan diri sebagai 'sugarbaby' di laman aplikasi itu.

SKMM hari ini berkata ia akan mengambil tindakan terhadap pengguna dan pemilik platform itu sekiranya didapati melakukan aktiviti yang melanggar undang-undang negara.

Suruhanjaya itu turut menyatakan PDRM akan mengambil tindakan lanjut sekiranya terdapat unsur kegiatan pelacuran.

Sugarbook mencetuskan kontroversi pada 2019 selepas papan iklan elektronik mengenai perkhidmatan itu dipaparkan di Kuala Lumpur.

Ini menyebabkan DBKL mengarahkan iklan itu ditarik balik, namun perkhidmatan aplikasi tersebut masih terus dapat diakses.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS