"Tunggu dan sabar, kami akan buat keputusan nanti," kata Peguam Negara, Idrus Harun.
Itu adalah reaksi Idrus ketika diminta mengulas perkembangan terkini kes kematian anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Muhammad Adib Mohd Kassim.
Masih belum nampak sebarang pengakhiran, pelbagai pihak kembali membangkitkan kes tersebut sejak beberapa hari lalu.
Bagaimanapun, Idrus tidak menyatakan secara khusus berapa lama lagi tempoh diperlukan Jabatan Peguam Negara untuk membuat keputusan berkenaan.
Terdahulu, ketika dihubungi Malaysiakini, Idrus berkata pihaknya akan mengeluarkan keputusan berhubung siasatan kes terbabit kemudian.
"Kami akan mengeluarkan keputusan kemudian," katanya.
Muhammad Adib ialah berkhidmat di Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya yang meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah semasa bertugas di pekarangan Kuil Sri Mahamariamman pada 27 Nov 2018.
Dia akhirnya menghembus nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada 17 Dis 2018. Bagaimanapun punca kematiannya dipertikaikan sama ada akibat diserang atau kerana kemalangan.
Inkues yang dijalankan memutuskan - pada 27 Sept 2019 - kematian Muhammad Adib adalah disebabkan perbuatan jenayah dua atau lebih individu yang tidak dikenali.
Namun sehingga kini belum ada mana-mana orang ditahan dan didakwa atas tuduhan membunuh.
Saksi tak periksa tubuh mangsa
Kematian tersebut juga menjadi satu daripada isu yang dimainkan Umno, PAS serta kumpulan pendesak Melayu ke atas Pakatan Harapan ketika gabungan itu menjadi kerajaan pusat.
Sementara itu, ketika diminta mengulas isu sama Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador memberitahu Malaysiakini hanya Jabatan Peguam Negara yang boleh melaporkan status kes berkenaan.
Ketika ditanya adakah ia bermaksud polis sudah melengkapkan siasatan dan hanya menunggu keputusan peguam negara, Abdul Hamid berkata ringkas: "Pihak peguam negara akan keluarkan kenyataan."
Menurut sumber Malaysiakini, ketika ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) memang sudah selesai menyiasat kes tersebut namun katanya belum ada individu yang menjadi suspek menyebabkan kematian Muhammad Adib dikenal pasti.
"PDRM dah siasat tapi dah sampai penghujung tiada pesalah yang dapat dikenal pasti," katanya.
Sumber itu juga memberitahu dapatan mahkamah koroner Shah Alam yang membuat inkues atas kematian itu juga "luar biasa" dan keterangan pakar patologi yang menjadi saksi inkues berkenaan diterima walaupun dia tidak memeriksa badan mangsa.
Jangan dibiar dalam kegelapan
Baru-baru ini, bapa Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid yang dihubungi Malaysiakini meluahkan rasa kecewa dengan kelewatan pihak berkuasa menyelesaikan kes kematian anaknya.
Menurut Mohd Kassim, kelewatan kes tersebut memperlihatkan pihak berkuasa seolah-olah mengambil sikap sambil lewa dan menganggap ia bukan masalah kepada negara.
Turut sama menzahirkan rasa kecewa, Pertubuhan Pembela Islam (Pembela). Pengerusinya Aminuddin Yahaya berkata tempoh siasatan kematian itu sudah berlalu terlalu lama namun belum ada tindakan tegas diambil.
Umno pula menggesa kerajaan segera mengumumkan perkembangan siasatan dan tindakan lanjut yang akan diambil berhubung kes itu.
Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki berkata pengumuman itu penting agar pihak keluarga arwah tidak berterusan dibiarkan dalam 'kegelapan'.
Untuk rekod sepanjang inkues berlangsung beberapa keterangan saksi juga menarik perhatian.
Misalnya bagaimana baju yang dipakai Muhammad Adib, 24, didapati mungkin dibasuh terlebih dulu sebelum ia diserahkan kepada pegawai polis yang menyiasat kes itu.
Saksi juga memberitahu beberapa anggota bomba memberitahunya bedah siasat tidak perlu dilakukan ke atas jenazah Muhammad Adib.
Polis pula memaklumkan siasatan kes berkenaan masih diteruskan dan tidak pernah ditamatkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, baru-baru ini berkata Jabatan Peguam Negara masih menunggu hasil siasatan polis yang difahamkan kini "di peringkat akhir".