Najib Razak sekali lagi gagal dalam permohonannya untuk menyingkirkan bekas hakim mahkamah persekutuan Gopal Sri Ram daripada bertindak sebagai timbalan pendakwa raya untuk kes-kes berkaitan 1MDB membabitkan bekas perdana menteri itu.
Pagi ini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib untuk menggugurkan Sri Ram yang menerajui pasukan pendakwaan dalam perbicaraan membabitkan kes meminda laporan audit 1MDB.
Najib sebelum ini mengemukakan beberapa permohonan di mahkamah berasingan untuk mengetepikan Sri Ram daripada tugas itu namun tidak berjaya.
Antaranya, pada 28 Ogos apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman Najib untuk membatalkan Sri Ram daripada pasukan pendakwaan dalam perbicaraan tersebut.
Sewaktu prosiding mahkamah pagi tadi, hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan bahawa tiada asas untuk permohonan Najib menyingkirkan Sri Ram.
Hakim itu turut memaklumkan, Sri Ram - seperti mana-mana orang lain - berhak atas pendapat peribadinya.
Kata Mohamed Zaini ia akan menjadi pertimbangan lain sekiranya pendapat dikemukakan Sri Ram menunjukkan dia berat sebelah ketika dia menjalankan tugas sebagai timbalan pendakwa raya.
“Bagaimanapun, seperti yang dihujahkan responden (pasukan pendakwaan) peristiwa (kejadian yang didakwa menunjukkan berat sebelah menerusi pertemuan bersama peguam negara pada awal 2018, Mohamed Apandi Ali) berlaku sebelum Sri Ram dilantik sebagai timbalan pendakwa raya.
“(Najib) tidak membuat permohonan lebih awal untuk mengadu kelakuan Sri Ram dalam perbicaraan (laporan audit 1MDB).
“Ini memberi kepercayaan kepada responden bahawa Sri Ram berkelakuan sebagai timbalan pendakwa raya.
“Permohonan Najib terhadap Sri Ram adalah tanpa merit. Tiada hal yang dapat menyokong permohonan ini kerana ia kekal andaian (hypothetical),” kata Mohamed Zaini.
Perbicaraan kes membabitkan pertuduhan Najib meminda laporan audit 1MDB dijadualkan sambung semula pada 22 Jan ini.
Permohonan Najib dibuat berdasarkan afidavit Mohamed Apandi yang mendakwa Sri Ram cuba memujuknya memainkan peranan supaya Najib ditangkap.
Menerusi hantaran di Facebook tahun lalu, Mohamed Apandi mendakwa Sri Ram menemuinya di rumah pada Jan 2018, dikatakan atas arahan Dr Mahathir Mohamad.
Lampiran perbualan Whatsapp kedua-dua belah pihak itu juga didedahkan semasa perbicaraan. Mesej tersebut didakwa dihantar pada pertemuan Jan 2018 itu.
Pada 12 Jun tahun lepas, Najib mengemukakan permohonan untuk menggugurkan Sri Ram sebagai pendakwa khas laporan audit 1MDB bekas perdana menteri itu.
Najib, 67, didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya untuk mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.
Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy didakwa bersubahat dengan Najib meminda laporan terbabit untuk melindungi ahli parlimen Pekan itu daripada dikenakan tindakan.