Umno Selangor menyatakan pendirian bahawa parti itu tidak akan berkompromi dan menyerahkan kerusi tradisi mereka kepada Bersatu pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 kelak.
Bagaimanapun, pengerusinya Noh Omar menjelaskan, parti berkenaan bersedia menyokong dan membantu Bersatu untuk bertanding di kerusi bukan pilihan Umno.
“Umno Selangor tidak kompromi untuk memberi kerusi di kubu Umno kepada Bersatu.
“Umno Selangor bersedia untuk menyokong dan membantu Bersatu di kerusi bukan pilihan Umno,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook hari ini.
Dia berkata demikian selepas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Saarani Mohamad memberi amaran kepada Bersatu supaya tidak berbuat hal yang sama di negerinya.
Tegas Saarani yang juga menteri besar Perak, semua kerusi parlimen dan dewan undangan negeri (DUN) berkenaan kekal ditandingi Umno pada PRU15 akan datang.
Sementara itu, Umno Selangor juga tidak akan bertembung dengan parti sekutunya PAS.
Tambahnya, parti itu juga akan mengelakkan pertembungan tiga penjuru pada pilihan raya akan datang.
“Elakan bertembung tiga penjuru antara BN vs Perikatan Nasional (PN) vs Pakatan Harapan (PH),” katanya lagi.