Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwaan langgar SOP: Polis siasat Annuar Musa
Diterbitkan:  Feb 14, 2021 6:10 PM
Dikemaskini: 10:10 AM

Polis akan memanggil Annuar Musa untuk memberikan keterangan mengenai dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ini selepas gambar Menteri Wilayah Persekutuan itu bersama enam yang lain duduk dalam satu majlis jamuan tular di media sosial.

“Kertas siasatan sudah dibuka,” kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Saiful Azly Kamaruddin seperti dilapor Free Malaysia Today.

Pada hantaran di media sosial semalam yang dipercayai merujuk kejadian itu, Annuar berkata dia cuma duduk sebentar semasa program Pertanian Bandar itu sebelum beredar.

"Tadi semasa di ladang, saya duduk sekejap dan pindah kerana penganjur tak ikut SOP.

"Bukan tak sudi atau tak hargai tuan rumah, tetapi perlu ikut SOP. Saya pohon maaf, diharap tiada yang tersinggung," katanya.

Penganjur program berkenaan hari ini memohon maaf kerana gagal mematuhi SOP.

Saiful berkata, laporan itu dibuat di Cheras di mana kejadian berkenaan berlaku.

Ketika ditanya FMT adakah Annuar akan dipanggil untuk disoal siasat, Saiful berkata “Ya sudah tentu".

Bawah peraturan PKP, hanya dua individu dibenarkan duduk di setiap meja dalam satu-satu premis ketika makan.

Sebelum ini, Annuar didakwa melanggar SOP yang melarang berjoging lebih dua orang dari rumah yang sama.

Ini selepas tersebar gambarnya berjalan dengan dua lagi individu ketika PKP dikuatkuasakan.

Annuar bagaimanapun mendakwa mereka melalui jalan berbeza sebelum bertembung secara kebetulan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS