Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KPT: Data 'sugar baby' meragukan, tak munasabah
Diterbitkan:  Feb 14, 2021 5:56 PM
Dikemaskini: 12:50 PM

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkata terdapat kemungkinan bahawa data yang dikemukakan berkenaan penglibatan pelajar universiti sebagai 'sugar baby' meragukan dan tidak munasabah.

Ia dimaklumkan oleh pihak universiti setelah dihubungi KPT bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan kesahihan data tersebut, kata ketua pengarahnya Husaini Omar.

“Antaranya, Sunway Education Group menyatakan bahawa agak mustahil 45 peratus daripada pelajar Sunway University terlibat sebagai 'sugar baby'.

“Ini kerana jumlah pelajar Sunway University pada masa kini adalah lebih kurang 7,000 pelajar sahaja.

"Oleh itu, laporan yang disiarkan oleh media bahawa seramai 3,105 pelajar Sunway University sebagai sugar baby adalah tidak munasabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, pihak Universiti Teknologi Mara (UiTM) juga telah membuat laporan polis pada 10 Februari lalu bagi menafikan laporan tersebut.

Awal minggu ini, aplikasi Sugarbook kembali menjadi perhatian selepas menyiarkan tinjauan berkenaan senarai sepuluh universiti awam dan swasta yang mempunyai sugar baby paling ramai.

Bagaimanapun Sugarbook tidak menjelaskan sejak bila data berkenaan dikumpulkan.

Tinjauan itu juga menunjukkan Malaysia diletakkan pada kedudukan ketiga tertinggi di Asia di belakang India dan Indonesia bagi negara yang mempunyai bilangan 'sugar daddy' paling ramai di aplikasi itu.

Husaini berkata pihaknya tetap memandang serius perkara itu dan akan bersama-sama universiti untuk melakukan semakan terperinci agar ia dapat ditangani sewajarnya.

Katanya lagi, KPT juga akan melakukan sesi libat urus dengan pihak Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta NGO.

Libat urus itu bagi merangka program berterusan dan menyeluruh dalam memastikan sahsiah pelajar dan imej institut pengajian tinggi terjaga, katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS