Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Latihan di Pulapol seluruh negara dihentikan sementara waktu

Segala aktiviti latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di seluruh negara dihentikan buat sementara waktu berikutan terdapat kes positif Covid-19 membabitkan pelatih polis, kata Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman Ramli Din.

Ramli berkata pada masa ini seramai 41 pelatih masih positif Covid-19 dan menjalani perintah kuarantin di Pulapol Kuala Lumpur.

“Sebelum ini, seramai 78 pelatih polis positif Covid-19 dan jumlah itu semakin berkurangan apabila ramai yang sembuh.

“Oleh itu, kami menunggu keadaan benar-benar pulih barulah Pulapol dibenarkan untuk meneruskan latihan kembali,” katanya kepada pemberita selepas melawat gerai-gerai Jualan Mega Frontliner bersama PDRM di Keramat Wangsa, di Kuala Lumpur.

Negeri-negeri yang mempunyai pusat latihan polis ialah Kuala Lumpur, Johor, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Dia berkata PDRM pada masa sama bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dengan membuat sanitasi awam di Pulapol Kuala Lumpur dan Pulapol Segamat, Johor.

“Sanitasi awam di Pulapol negeri-negeri lain juga ada kami buat tetapi jumlah jangkitan Covid-19 adalah begitu kecil,” katanya.

Mengulas mengenai pengambilan rekrut baru untuk jawatan pegawai dan anggota polis ketika tempoh Covid-19, Ramli berkata pengambilan jawatan diteruskan seperti biasa namun ia dihadkan.

“Hari ini, kami masih ada buat ujian fizikal rekrut baru untuk mengisi kekosongan jawatan PDRM sedia ada tetapi hanya 3,800 sahaja diambil daripada 7,200 jawatan yang dibuka.

“Ia tidak boleh direkrut sepenuhnya (7,200) kerana dalam tempoh Covid-19 kelengkapan pelindungan diri tidak mencukupi untuk Pulapol melaksanakannya,” katanya.

Ramli berkata walaupun pengambilan rekrut diteruskan, PDRM mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang ketat di setiap Pulapol seluruh negara.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS