Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ismail Sabri lapor polis isu sebar video lama
Diterbitkan:  Feb 13, 2021 2:14 PM
Dikemaskini: 6:14 AM

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob membuat laporan polis hari ini berhubung dua video pendek lama yang ditularkan kembali, didakwa kerana cuba untuk memfitnah dan merosakkan namanya.

Video pertama, dirakam semasa sidang media pada 14 April 2020, dakwa Ismail, seolah-olah cuba mengelirukan rakyat berkenaan hukuman pelanggaran prosedur operasi piawai (SOP).

“Video (pertama) tersebut ditularkan kononnya ia adalah sidang media terbaru dan ia seakan bertujuan mengelirukan rakyat kononnya tiada lagi saman dan kompuan akan dikenakan sekiranya melanggar SOP sebaliknya rakyat akan terus dipenjarakan.

“Video tersebut adalah video lama dan kerajaan telah melakukan pelbagai penambahbaikkan dalam pelaksanaan SOP,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Video kedua, kata Ismail, dengan judul “Sendiri buat SOP sendiri langgar” pula sebenarnya dirakam dalam majlis santai bersama penggiat seni sempena Kempen Tabung Hari Pahlawan pada 15 Sep 2020, ketika negara di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) pemulihan (PKPP).

“Video tersebut dengan sengaja disebarkan kononnya majlis itu adalah sambutan Tahun Baru Cina. Ingin saya tegaskan bahawa majlis tersebut diadakan ketika dalam pelaksanaan PKPP.

“Dalam pelaksanaan PKPP, majlis perkahwinan juga dibenarkan temasuklah majlis-majlis lain. Maka, tiada pelanggaran SOP yang berlaku,” katanya lagi.

Video itu menunjukkan Ismail hadir majlis bersama beberapa orang lain tanpa memakai pelitup muka dan duduk bersama di meja jamuan dengan tidak menjaga penjarakan fizikal.

Katanya, tujuan dia membuat laporan polis adalah bagi menghentikan penularan fitnah ke atas dirinya, memandangkan penyebaran video itu boleh menyebabkan timbulkan kemarahan rakyat sekaligus menjejaskan kredibiliti dan kepercayaan rakyat kepadanya.

“Penyebaran video ini ternyata berniat jahat kerana dikatakan video terbaru sewaktu PKP,” katanya lagi.

Ismail bagaimanapun tidak hadir membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi tadi, sebaliknya laporan polis dibuat oleh setiausaha akhbarnya, Azlina Md Rosdy.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan polis, Azlina memberitahu dua video berkenaan dikongsi di laman Facebook Anwar Ibrahim PM Rakyat dan juga akaun Anina Saadudin.

“Setelah video ini tular dengan begitu luas, jadi Datuk Seri Ismail Sabri telah mengarahkan saya untuk membuat laporan polis, bagi kita menghentikan dan pihak polis boleh mengambil tindakan dengan segera terhadap mereka yang menyebarkan (video itu),” katanya.

Katanya lagi, pihaknya juga telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung isu sama. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS