Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hilang kerja, gaji dipotong - Pemilik terpaksa abai anjing peliharaan

Wabak Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP) telah menjejaskan pendapatan ramai orang, termasuk pemilik haiwan peliharaan.

Ia menyebabkan semakin banyak anjing peliharaan yang kini terabai, kata aktivis hak haiwan.

"Terdapat peningkatan bilangan anjing yang diabaikan tuan mereka yang berdepan masalah kewangan. Mereka menghubungi rumah perlindungan untuk menyerahkan anjing mereka,” kata pengasas Malaysian Independent Animal Rescue, T Puspa Rani kepada Malaysiakini.

Dia berkata, mereka terpaksa bertindak demikian selepas berdepan masalah kewangan, seperti dipotong gaji atau perniagaan terjejas.

“Ada juga yang terpaksa berpindah daripada rumah atas tanah ke kondominium atau pangsapuri (yang melarang haiwan peliharaan). Bukanlah mereka mahu abaikan anjing mereka, tapi memandangkan situasi, mereka tiada pilihan,” katanya.

Semalam, The Star melaporkan Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan Ipoh berkata, kes anjing yang diabaikan meningkat 50 peratus di sana, sejak penularan Covid-19.

Presidennya Ricky Soong berkata, ramai pemilik anjing baka mahal tidak mampu menampung kos penjagaan yang tinggi.

“Cara mudah bagi mereka adalah meninggalkan anjing mereka di tempat yang jauh atau hantar ke rumah perlindungan. Ramai yang hilang kerja dan tak dapat keluarkan belanja untuk binatang peliharan," katanya seperti dipetik.

Soong memetik satu kes baru-baru ini apabila seorang pemilik menghubungi pihak berkuasa untuk mengambil anjingnya, dengan mandakwa haiwan tersebut bukan miliknya.

Tahun lalu, pertubuhan Voice For Paws berkata, sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama pada Mac, panggilan diterima untuk menyelamatkan anjing meningkat sehingga 60 peratus.

Kebanyakan anjing ditinggalkan di jambatan, stesen kereta api, perhentian bas atau di tepi jalan.

Keadaan ini bukan hanya berlaku di Malaysia.

BBC turut melaporkan sejumlah 40,000 anjing diabaikan di seluruh United Kingdom pada 2020, ketika negara itu berdepan kemelesetan ekonomi, menurut kumpulan kebajikan haiwan Dogs Trust.

Ia sama seperti yang berlaku di sana ketika kemelesetan ekonomi pada 2008. Ketika itu, jumlah anjing terabai meningkat 25 peratus.

Di Seremban, Setiausaha Persatuan Penyelamat Haiwan Terbiar Furrykids Safehaven, Sathiavany Madhavan mengakui bahawa kemerosotan ekonomi membawa kepada peningkatan kes haiwan peliharaan yang diabaikan.

“Ada satu pasangan yang mempunyai dua ekor anjing, mereka hilang pekerjaan - suaminya bekerja di hotel, isterinya bekerja di kilang. Mereka terpaksa berpindah ke sebuah bilik dan meminta kami menjaga anjing mereka,” katanya.

Kata Sathiavany, dia tidak melihat peningkatan mendadak haiwan baka tulen (pedigree) yang diabaikan pada tahun ini, meskipun menyaksikan banyak anjing baka poodle yang dibuang ketika tempoh awal PKP.

Pun begitu, katanya, pihak-pihak berkaitan telah bertindak dengan baik dalam menangani masalah berkenaan.

“Bilangan haiwan jalanan di Seremban terkawal, memandangkan kami mengamalkan TNR iaitu perangkap dan mandulkan (trap dan neuter), dan penempatan semula/lepaskan semula ke tempat asal (rehome/release).

“Penting untuk pemilik memandulkan binatang peliharaan, dan untuk masyarakat berganding bahu memandulkan haiwan jalanan di kawasan mereka,” kata Sathiavany.

“Apa yang terbaik adalah cuba tempatkan semula (rehome) memandangkan haiwan peliharaan ini tinggal di rumah. Jika dihantar ke rumah perlindungan, haiwan ini tak akan faham kenapa pemilik tinggalkan mereka di situ,” kata Puspa pula.

Katanya, kini masa yang sukar untuk semua orang, dan pemilik haiwan peliharaan tidak terkecuali.

“Saya kasihan kepada sesetengah pemilik yang sangat sayangkan anjing mereka. Sangat menyedihkan. Rumah perlindungan pun sudah penuh,” katanya lagi.

[Baca berita asal]



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS