Bekas setiausaha agung Barisan Nasional (BN), Annuar Musa meluahkan rasa kecewa dengan dakwaan pemimpin Bersatu bahawa Umno mempunyai akaun bank rahsia yang tidak diaudit untuk menerima sumbangan politik.
"Akaun sulit Umno? Pemimpin Bersatu atau parti lain tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan yang bersifat tuduhan.
"Ia tidak membawa sebarang kebaikan," ciapnya.
Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, selama lebih 20 tahun sebagai ahli Majlis Tertinggi Umno, parti itu tidak pernah membuat keputusan membuka akaun rahsia.
Dia berkata demikian ekoran kenyataan ahli majlis tertinggi Bersatu Dr Muhammad Faiz Na'aman yang menggesa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menyiasat dakwaan bahawa Umno mempunyai akaun bank rahsia.
Selain melanggar Akta Pertubuhan, Faiz berkata pendedahan itu merupakan pengkhianatan jelas terhadap perlembagaan Umno dan anggotanya sendiri.
Dakwaan berhubung akaun bank rahsia itu dibuat oleh pihak pendakwaan dalam saman sita pelucutanhak berkaitan 1MDB oleh kerajaan terhadap Obyu Holdings.
Umno mendakwa wang yang ingin disita oleh kerajaan adalah milik parti itu.
Dalam keterangan bertulis bagi membantah dakwaan itu, pihak pendakwa berkata akaun tersebut, yang tidak diaudit, digunakan untuk menerima sumbangan politik.
Beberapa pemimpin Umno termasuk timbalan presiden Mohamad Hasan mendakwa mereka tidak tahu-menahu mengenai kewujudan akaun rahsia Umno bagi menerima sumbangan politik, seperti didedahkan di mahkamah.
“Tak ada pula di dalam pengetahuan saya Umno ada akaun rahsia,” katanya.