Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
K'jaan gesa J&T bincang dengan pekerja sebelum buat perubahan
Diterbitkan:  Feb 12, 2021 2:22 PM
Dikemaskini: 6:23 AM

Kementerian Sumber Manusia menggesa syarikat penghantaran, J&T Express (Malaysia) Sdn Bhd berbincang dengan pekerja sebelum membuat sebarang perubahan melibatkan mereka.

Ia susulan video tular yang menunjukkan pekerja syarikat itu membaling dan melonggokkan barang yang menurut syarikat itu berpunca daripada pertikaian berkenaan pemberian bonus.

"Para majikan digesa supaya sentiasa mengadakan perbincangan dengan pihak pekerja terlebih dahulu sebelum membuat sebarang perubahan yang melibatkan kepentingan pekerja.

"Ini bagi memastikan keharmonian perusahaan yang dinikmati pada hari ini serta kebajikan pekerja akan terus berkekalan dan terpelihara," kata kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, terdapat dakwaan bahawa tindakan pekerja J&T Express di Perak disebabkan masalah pembayaran gaji. Bagaimanapun dakwaan itu dinafikan pihak syarikat.

J&T juga telah membuat permohonan maaf atas insiden itu.

Menurut Kementerian Sumber Manusia, pihaknya telah menjalankan siasatan susulan video itu dan mendapati ia berpunca daripada bebanan kerja oleh pekerja di gudang berikutan peningkatan bungkusan secara mendadak.

"Siasatan turut mendapati terdapat pekerja terutama di bahagian penghantaran tidak berpuas hati dengan pemberian bonus berdasarkan prestasi dan perubahan struktur bayaran komisen secara unilateral yang akan menyebabkan pendapatan pekerja yang terlibat berkurang," katanya.

Katanya lagi, J&T juga telah memaklumkan isu tersebut disebabkan salah faham dan telah selesai, serta memberi penjelasan berkenaan sistem pemberian bonus kepada kakitangan mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS