Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Malaysia serah 1,200 tahanan imigresen kepada tentera laut Myanmar

Malaysia akan menghantar pulang 1,200 warga Myanmar selepas pemerintah tentera Myanmar, yang melakukan rampasan kuasa pada 1 Feb lalu menawarkan tiga kapal tentera laut bagi membawa mereka pulang, kata pegawai dari kedua-dua negara dan dua sumber kepada Reuters.

Myanmar, melalui kedutaannya di Kuala Lumpur, membuat tawaran untuk membawa pulang warganya yang ditahan di pusat tahanan imigresen Malaysia minggu lalu, menurut dua sumber yang tahu mengenai perkara itu.

Pusat-pusat tahanan kebiasaannya menahan pencari suaka dan pelarian bersama mereka yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Malaysia tidak mengiktiraf pelarian secara rasmi dan menganggap mereka sebagai pendatang tanpa izin.

Pegawai tersebut tidak menjawab pertanyaan mengenai apakah mereka yang dihantar pulang termasuk kumpulan pelarian.

Mereka yang ditahan sebelum ini termasuk etnik Chin, Kachin dan Muslim Rohingya yang melarikan diri daripada konflik etnik dan penganiayaan yang dilakukan oleh tentera Myanmar.

Malaysia menempatkan lebih daripada 154,000 pencari suaka dari Myanmar, menurut agensi pelarian PBB UNHCR, selain ribuan pekerja asing.

Myanmar mengiktiraf lebih daripada 100 etnik tetapi tidak Rohingya, yang dilihat sebagai pendatang haram dari Bangladesh.

Sumber-sumber itu, yang enggan namanya disiarkan berkata kapal tentera laut dijangka tiba di Malaysia pada 21 Februari sebelum berangkat pulang dua hari kemudian.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Khairul Dzaimee Daud mengesahkan perkara itu dan berkata pihak berkuasa telah bersetuju menyerahkan tahanan kepada angkatan laut Myanmar.

"Ya, kami telah setuju. Kesemuanya dari depot tahanan imigresen,” katanya dalam kiriman pesanan teks, tanpa mengulas lanjut.

Win Min Soe, pegawai atase buruh di kedutaan Myanmar, juga mengesahkan perkara itu.

Jurucakap pejabat perdana menteri dan kementerian luar bagimanapun tidak menjawab permintaan untuk memberi komen.

- Reuters


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS