Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mahkamah TInggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa ujian Covid-19 yang dilakukan terhadap bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman menunjukkan keputusan negatif.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memaklumkan perkara itu kepada mahkamah semasa perbicaraan membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak berkaitan dana 1MDB hari.

Semalam, saksi pendakwaan ke-10 itu tidak dapat menghadiri perbicaraan kerana demam.

Hakim Collin Lawrence Sequerah kemudian mengarahkan pihak pendakwaan memastikan saksi tersebut menjalani ujian swab Covid-19.

Berikutan itu Hazem semalam tidak dapat meneruskan pemeriksaan balas yang dilakukan oleh pasukan pembelaan.

Sequerah : Bagaimana keputusan ujian Hazem?

Akram : Keputusannya negatif.

Difahamkan, Hazem akan dipanggil sebagai saksi sekali lagi pada Isnin minggu hadapan.

Sementara itu, bekas timbalan ketua setiausaha kabinet Mazidah Abdul Majid selesai memberikan keterangannya hari ini.

Mazidah dalam keterangannya berkata tiada menteri yang membangkitkan isu konflik kepentingan terhadap Najib sepanjang mesyuarat kabinet.

Saksi itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah.

Peguam berkenaan bertanya kepadanya apakah terdapat menteri kabinet semasa pentadbiran Najib membangkitkan isu konflik kepentingan terhadap tertuduh berkaitan dengan 1MDB.

Shafee: Dalam soal berkaitan Najib, 1MDB dan TIA (Lembaga Pelaburan Terengganu yang merupakan pendahulu 1MDB) dan SRC (International, bekas anak syarikat 1MDB), ada situasi di mana ada orang (dalam kabinet) membangkitkan isu konflik kepentingan, ada sesiapa?

Mazidah: Tidak.

Shafee: Dalam kes di mana dia (Najib) mempengerusikan lembaga penasihat  1MDB, sebagai menteri kewangan, dan sebagai wakil korporat Menteri Kewangan Diperbadankan, tetapi semua ini adalah jawatan rasmi. Adakah ada individu (dalam kabinet) yang mengatakan bahawa ini menimbulkan konflik kepentingan dan oleh itu membangkitkan perkara ini?

Mazidah: Tidak setahu saya.

Semasa pemeriksaan semula oleh Akram, Mazidah mengatakan dia tidak tahu secara peribadi mengenai apakah Najib sebenarnya mempunyai kepentingan peribadi terhadap 1MDB yang boleh menyebabkan konflik kepentingan.

Akram: Dalam kes ini, adakah anda tahu jika Najib mempunyai kepentingan peribadi terhadap 1MDB. Shafee sebelumnya mengatakan bahawa dia (Najib) mempunyai kepentingan rasmi sebagai pengerusi lembaga penasihat (1MDB), sebagai pemegang saham MoF Inc dan sebagai perdana menteri.

Adakah anda tahu jika dia (Najib) mempunyai kepentingan peribadi dalam syarikat (1MDB)?

Mazidah: Tidak, saya tidak tahu.

Akram: Adakah anda tahu adakah Najib pernah menerima wang daripada 1MDB?

Mazidah: Tidak, saya tidak tahu.

Akram: Sekiranya Najib secara peribadi menerima wang daripada 1MDB, adakah itu merupakan konflik kepentingan (yang melanggar Kod Etika untuk Anggota Pentadbiran)?

Mazidah: Menurut pendapat peribadi saya, ya, tetapi kerana melibatkan menteri dan perdana menteri, saya cadangkan anda dapatkan pendapat peguam negara.

Najib dibicarakan atas empat tuduhan salah guna kuasa dan 21 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB sebanyak RM2.28 bilion.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS