Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ayah Adib kecewa, dakwa polis sambil lewa dalam siasatan

Bapa kepada Allahyarham Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid meluahkan rasa kecewa dengan kelewatan pihak berkuasa menyelesaikan kes kematian anaknya yang meninggal dunia semasa bertugas di lokasi rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, dua tahun lepas.

Menurut Mohd Kassim, kelewatan kes tersebut memperlihatkan pihak berkuasa seolah-olah mengambil sikap sambil lewa dan menganggap ia bukan masalah kepada negara.

"Kami masih lagi menunggu tindakan seterusnya daripada pihak berkuasa. Kami pun dah selalu minta kerajaan percepatkan proses siasatan dan tangkapan. Sebab perkara ini dah lama sangat, keputusan mahkamah sebelum ini pun dah dimaklumkan. Tapi pihak berkuasa masih tidak ambil tindakan lagi.

"Kami selalu minta pihak berkenaan percepatkan buat siasatan, buat tangkapan untuk mencari kebenaran kematian anak kami.

"Kami sekeluarga rasa cukup kecewa dengan sikap yang ditunjukkan oleh kerajaan, seolah-olah sambil lewa, seolah-olah ia bukan masalah bagi kerajaan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Mohd Kassim berkata demikian ketika dihubungi Malaysiakini baru-baru ini bagi mengulas kelewatan hasil siasatan polis berhubung kematian anggota bomba itu.

Disember lalu, kerajaan memberi jaminan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk memberi keadilan buat keluarga Allahyarham Muhammad Adib.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Takiyuddin Hassan berkata setakat ini pihak Jabatan Peguam Negara masih menunggu hasil siasatan polis yang difahamkan kini di peringkat akhir, sebelum tindakan seterusnya dapat diambil.

Malah, Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin juga berkata siasatan polis kini di peringkat akhir dan hasil siasatan akan dihantar kepada Jabatan Peguam Negara.

Bagaimanapun, difahamkan sehingga kini masih tiada tindakan lanjut dibuat oleh pihak kerajaan.

'Kenapa perlu ambil masa lama?'

Mengulas perkara itu, Mohd Kassim berkata dia musykil kenapa kerajaan perlu mengambil masa terlalu lama dalam mengambil tindakan.

Sedangkan, kata Mohd Kassim, Mahkamah Koroner sebelum ini telah memutuskan punca kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah.

"Saya pun musykil kenapa kerajaan lewat mengambil tindakan, sebab apa kerajaan ambil masa begitu lama, sedangkan keputusan prosiding inkues sebelum ini pun dah putuskan arwah meninggal dan mereka juga telah serahkan kepada pihak berkuasa untuk terus membuat tangkapan.

"Tapi, sampai sekarang pun tidak ada apa apa perkembangan dan kita pun tak tahulah macam mana," keluhnya.

Bagaimanapun, mengulas lanjut Mohd Kassim berkata pihaknya masih lagi meletakkan harapan yang tinggi untuk pihak berkuasa menyelesaikan kes itu.

Namun katanya, dia berharap tiada lagi suara suara yang menyatakan akan membuat siasatan sebab-sebab kematian Muhammad Adib.

"Kita minta tiada lagi. Sebab apa? Sebab mahkamah dah putuskan sebab-sebab kematian itu, apa lagi sebab untuk buat siasatan berhubung kematian arwah.

"Saya harap itu tak adalah. Sekarang ini kerajaan hanya perlu buat tangkapan dan dakwa pihak pihak yang terlibat.

"Dan buat masa ini kami ambil langkah tunggu dan lihat. Tapi kalau keadaan berterusan kita akan teruskan langkah seterusnya," tambahnya.

Rasa kecewa itu turut dikongsi peguam Aidil Khalid, yang mewakili Mohd Kassim.

Menurut Aidil, ini kerana kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak polis menunjukkan bahawa polis tidak bersungguh-sungguh mahu menyiasat kes kematian anggota bomba tersebut.

Malah katanya, polis masih menjaja cerita bahawa kononnya tidak ada saksi yang nampak Muhammad Adib dipukul.

"Bila pihak yang sepatutnya menyiasat, mengatakan ingin menyiasat semula, tetapi dalam masa sama tidak menunjukkan kesungguhan itu, maka harapan untuk mendapat penyelesaian semakin malap.

"Di bawah undang-undang jenayah, hanya kerana tiada orang nampak, bukan bermaksud jenayah itu tidak dilakukan," katanya kepada Malaysiakini.

Mengambil contoh kes pembunuhan Sosilawati Lawiya beberapa tahun lepas, Aidil berkata dalam kes itu, bukan sahaja tiada ada saksi yang nampak bahawa jutawan kosmetik itu dibunuh, bahkan mayatnya juga sehingga kini tidak ditemukan.

"Tetapi polis dalam kes itu menyiasat bukti-bukti sampingan (circumstantial evidence atau keterangan mengikut keadaan) dan akhirnya pelakunya berjaya didakwa dan disabitkan," katanya.

Jelas Aidil, jika dibaca alasan penghakiman Mahkamah Koroner setebal 52 halaman, hakim sudah jelaskan dengan panjang lebar bahawa walaupun tiada saksi yang nempak secara terus Muhammad Adib dibunuh, namun bukti-bukti ‘circumstantial’ terlalu banyak untuk merumuskan bahawa dia sememangnya telah dibunuh.

"Dalam hiruk-pikuk rusuhan di Kuil tersebut, tiga orang saksi nampak seseorang dikerumuni, sambil disepak-terajang. Salah seorang daripadanya kata, apabila dia datang dekat, dia nampak dengan mata kepala bahawa orang yang dikerumuni itu adalah arwah Adib (walaupun dia tidak nampak kejadian ketika mana Adib dipukul).

"Ini juga disokong dengan keterangan daripada saksi pakar Patologi, Prof Shaharum, yang membuat kajian forensik, bahawa memang jelas ada kesan Adib ditarik keluar dari van, diseret, dan kemudian dipukul," katanya.

Tambah Aidil, ia juga disokong dengan rakaman video yang menunjukkan para perusuh menyerang kenderaan bomba.

"Juga disokong lagi oleh keterangan ketua Balai Bomba Subang Jaya dan pegawai Institut Jantung Negara (IJN) yang mengesahkan bahawa ketika dia melawat Adib di IJN, Adib ada memaklumkan kepadanya bahawa dia ditarik dan dipukul.

"Kesemua bukti-bukti ini, walaupun bukan bukti 'ada orang nampak', tetapi adalah bukti-bukti 'circumstantial' yang sangat kukuh," tegasnya.

Bagaimanapun, tegas Aidil dia bukannya magu mempersoalkan kenapa polis tidak lagi menjumpai pembunuh Muhammad Adib.

Namun katanya, alasan yang diberikan oleh pihak polis melalui kenyataan-kenyataan Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador menunjukkan pihaknya tiada kesungguhan dalam mencari keadilan untuk Muhammad Adib.

"PDRM perlu terus menyiasat dan kalau tak jumpa, terus lagi menyiasat dan mencari siapakah pembunuhnya.

"Tetapi jangan sesekali nafikan dan ubah jalan cerita, seolah-olah Adib tidak dibunuh hanya semata-mata untuk menutup kegagalan pihak polis mencari pembunuhnya.

"Tidak semua kes jenayah akan berjaya diselesaikan. Jika tidak berjaya cari pembunuhnya, maka kes ini perlu terus jadi kes yang tidak diselesaikan, tetapi jangan nafikan hakikat bahawa arwah mati dibunuh. Ini yang kita bantah," tambahnya.

Allahyarham Muhammad Adib, 24, yang merupakan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis 2018, di Institut Jantung Negara ekoran kecederaan parah dialaminya di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun sama.

Pada 27 Sept 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib disebabkan perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan satu inkues diadakan semula berhubung kes kematian Muhammad Adib berikutan terdapat saksi baharu yang akan tampil memberi keterangan berhubung kematian anggota bomba dan penyelamat itu..


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS