Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kisah Orked: Dulu pelajar perubatan, kini suntik hormon pasaran gelap

Ketika Orked Luna membuat keputusan menyambung pengajian ijazah sarjana mudanya dalam bidang perubatan, dia tidak sedar yang ia akhirnya menghimpit dirinya ke satu tahap sehingga dia mahu mencabut nyawa sendiri.

Satu ketika dahulu, di Hospital Universiti Malaya, golongan transgender pernah diberi ruang menjadi diri sendiri, tetapi kini, keadaan sudah banyak berubah.

“Cara saya bercakap agak feminin. Cara doktor-doktor memandang saya menunjukkan yang mereka tak mahu orang macam saya menjadi sebahagian daripada profesyen mereka,” katanya kepada Malaysiakini.

Tidak mampu menyelindungi sifat trangendernya, Orked, 21, berkata dia terhumban ke dalam “pilin gelap” (dark spiral), sebelum kemudiannya didiagnosis dengan skizofrenia.

“Saya pernah cuba bunuh diri beberapa kali, dan saya dimasukkan ke wad psikiatri beberapa minggu. Di dalam wad, saya beritahu mereka saya transgender dan ahli-ahli psikiatri Melayu itu enggan mengiktiraf kewujudan kami,” dedahnya.

“Mereka cuba gunakan agama untuk membantu saya, meminta saya bersolat dan dekatkan diri dengan Tuhan. Saya tak nampak bagaimana ia dapat membantu saya kerana ini (skizofrenia) adalah satu patologi yang benar."

Tahun lalu, Orked berhenti pengajian perubatannya untuk beralih ke perjalanan hidup yang baru.

“Pada mulanya, saya sangka saya mahu buktikan mereka salah, mahu ubah persepsi terhadap orang-orang seperti saya. Tapi ia (sukar sehingga) memakan diri saya.

“Sekiranya masyarakat atau lapangan perubatan lebih menerima, saya mahu habiskan pengajian saya,” tambahnya.

Orked mendapat kerja di sebuah kedai burger di Kuala Lumpur dan dengan wang yang diperolehinya, dia mula membeli hormon daripada pasaran gelap.

Menurutnya, itu satu-satunya jalan untuk dirinya, meskipun dia tahu ia boleh membawa kesan sampingan.

“Kami tak belajar keperluan kesihatan khusus untuk transgender (di sekolah perubatan). Saya perlu belajar semuanya dalam talian. Saya belajar bagaimana menyuntik diri sendiri dengan hormon daripada internet.

“Saya tak dapat periksa (tahap hormon). Jika hormon saya melebihi tahap normal, kesan sampingannya teruk, tapi inilah kehidupan yang terpaksa kami jalani”.

Lagipun, kata Orked, dia tidak mampu untuk menjalani ujian bagi menentukan tahap hormon.

“Saya bukan daripada keluarga senang. Saya daripada keluarga B40. Menjadi transgender ini, kalau kamu kaya, kamu boleh periksa hormon kamu setiap bulan”.

Meskipun kini gembira kerana dapat menerima dirinya yang sebenar, Orked bagaimanapun masih terperangkap dalam rasa bimbang berhubung kesihatannya.

Ini kerana, ada rakan transgendernya yang menderita masalah buah pinggang, paru-paru dan masalah berkaitan darah gara-gara menyuntik sendiri hormon daripada pasaran gelap.

“Kalau kita boleh ada perkhidmatan kesihatan khas untuk warga emas, kenapa tidak untuk warga transgeder? Ini melanggar hak asasi,” kata Orked.

Tiada pilihan

Menurut bekas doktor kerajaan yang kini mempunyai klinik sendiri, perkhidmatan khusus untuk golongan transgender semakin lenyap di Malaysia selepas tahun 1980an.

Bagaimanapun, katanya, populasi transgender masih wujud dan memerlukan rawatan kesihatan, Ini memaksa mereka mencari alternatif.

Dorian Wilder, pengasas Transmen of Malaysia (ToM), berkata, orang awam mungkin berasakan perkhidmatan kesihatan khusus buat golongan transgender itu tidak penting.

 “Mereka tak faham. Mengharamkannya tak bermaksud orang akan berhenti (menukar jantina).”

Bercakap daripada pengalaman sendiri, kata Dorian, apabila seseorang itu tidak selesa dengan identiti sendiri, ia akan membawa kepada disforia dan kegelisahan (anxiety), serta kecenderungan bunuh diri.

“Meskipun tak cukup duit, mereka akan tetap lakukannya (menerusi pasaran gelap). Bagi kami, ini penting. Ia mengubah kehidupan kami,” jelasnya.

Perkhidmatan kesihatan khusus buat golongan transgender termasuk terapi penggantian hormon, pembedahan jantina, dan perkhidmatan kaunseling.

Tidak semua transgender memilih untuk melakukan pembedahan, ada yang lebih selesa mengambil hormon bagi mengubah penampilan mereka.

Pada masa sama, terapi hormon yang bersesuaian juga turut diperlukan bagi mereka yang mahu menjalani pembedahan.

Bagi memastikan keselamatan dan mengelakkan komplikasi berkaitan terapi hormon, pakar berkata bahawa nasihat perubatan adalah perkara paling penting.

Di sesetengah negara, penyekat baligh (puberty blockers) digunakan untuk menyekat perkembangan ciri jantina sekunder biologi dalam diri kanak-kanak yang menganggap diri mereka transgender.

Meskipun ada kesan sampingan, ia dapat mengurangkan kos perubatan untuk pembedahan tukar jantina dan daripada trauma memiliki ciri jantina yang tidak sesuai dengan identiti jantina seseorang remaja transgender.

Memandangkan tiadanya saluran yang terbuka dan baik bagi komuniti transgender di Malaysia untuk mendapat terapi hormon, kebanyakan mereka melalui proses pertukaran jantina tanpa pemantauan perubatan yang sewajarnya.

Sudah lima tahun Subatra bekerja bersama komuniti transgender dengan tujuan untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan yang tidak mendiskriminasi, berpatutan, mesra wanita dan transgender, buat individu daripada individu berpendapatan sederhana yang tidak mampu pergi ke hospital swasta.

Selain kos yang tinggi, kata Subatra, pesakit transgender turut berdepan masalah lain seperti diksriminasi dalam kalangan petugas kesihatan.

Tambahnya lagi, doktor turut berdepan kesukaran untuk menyediakan kemudahan kesihatan buat transgender memandangkan stigma dan kekurangan pengalaman.

“Mereka tak mahu dilihat sebagai ‘klinik transgender’. Selain itu, turut terdapat kesukaran untuk membeli ubat yang disyorkan,” jelasnya.

Faktor agama-politik

Subatra memaklumkan, penyalahgunaan hormon seperti tersalah mengambil ubat atau dos, meningkatkan risiko masalah seperti strok dan penyumbatan darah.

“Sebahagian lelaki-trans yang mengambil testosteron dalam dos yang sangat tinggi seperti yang diambil ahli bina badan, itu berbahaya untuk jangka masa panjang”.

Menegaskan perkhidmatan buat transgender haruslah bersifat menyeluruh, Subatra bagaimanapun berkata, di Malaysia, hala tujunya dibantut oleh faktor agama-politik (religiopolitical).

“Kita bangsa sekular. Kita ada doktor dan pelanggan daripada pelbagai agama - kenapa harus satu agama tertentu menentukan dasar penjagaan kesihatan untuk semua?”

Bagaimanapun, seorang doktor beragama Islam yang tidak mahu dinamakan berkata, sistem penjagaan kesihatan awam bersifat inklusif, termasuk buat minoriti seksual.

“Sudah tentu, wanita-trans tidak dibenarkan melakukan pembedahan tukar jantina di Malaysia dan berpakaian berbeza jantina dianggap haram.

“Tetapi jika seorang transgender datang ke klinik, perkhidmatan kami tidak mengenal batasan. Dia akan dilayan seperti pesakit lain yang memerlukan perhatian perubatan,” tegasnya.

Katanya, lelaki yang membuat hubungan seks sesama lelaki merupakan sebahagian besar daripada pesakit HIV, tetapi mereka tetap layak mendapat rawatan percuma.

Dia turut merujuk bagaimana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bekerjasama dengan NGO dan menyediakan saringan kes jangkitan seksual (STI) dan perkhidmatan lain termasuklah meningkatkan kesedaran dalam kalangan transgender.

“Kami masih menerima peruntukan yang mencukupi untuk menguruskan klinik STI kami. Orang transgender dengan (penyakit) diabetes atau hipertensi masih boleh mendapatkan rawatan di klinik atau hospital,” tambahnya.

Bagi menangani isu transfobia dalam kalangan penyedia perkhidmatan kesihatan, katanya, KKM telah menganjurkan banyak kursus dan membina “klinik mesra”.

'Klinik mesra-trans?

Memberikan pandangan berbeza, wanita transgender Sulastri Ariffin, 60, meluahkan rasa ragu dengan apa yang disebut sebagai “klinik mesra” itu.

“Mereka dakwa ada klinik ‘mesra-trans’, tapi tak ada perkhidmatan kesihatan khusus untuk transgender seperti terapi hormon atau pembedahan. Kamu tak boleh pun nak bertanya tentang itu.

“Saya tahu kementerian akan cakap mereka sedang bina klinik mesra-trans. Sudah tentu, mereka perlulah jadi mesra sebab mereka perlu penuhi KPI (petunjuk pretasi utama),” katanya.

Menceritakan pengalaman peribadinya, Sulastri berkata, tanggapan bahawa golongan transgender sangat terdedah dengan jangkitan STI dan HIV turut menyumbang kepada stigma dan diskriminasi.

Dia pernah mengunjungi sebuah klinik kerana masalah saraf, dan doktor di situ kelihatan bimbang dan memintanya menjalani ujian darah tanpa penerangan yang jelas.

Hanya kemudian, barulah Sulastri tahu dia sebenarnya menjalani ujian HIV.

“Doktor tak terangkan kenapa saya perlu jalani ujian darah untuk masalah saraf. Mereka nampaknya fikir semua orang transgender ini mesti buat ujian HIV.

“Saya tak beritahu apa-apa simptom berkaitan HIV. Saya mendidik komuniti transgender tentang HIV dan STI, saya tahu apa simptom-simptomnya,” katanya lagi.

Meskipun terdapat kekangan, ada juga doktor-doktor yang cuba berkhidmat buat komuniti itu dengan menyediakan nasihat penggunaan hormon yang selamat.

“Kami berikan maklumat tentang kesan hormon terhadap hati, tahap kolestrol, pengedaran (darah), dan lain-lain. Kami turut tawarkan untuk lakukan pemeriksaan.

“Ramai daripada mereka yang berminat hendak tahu tahap hormon mereka. Kami tak ada kemudahan itu (di klinik kerajaan), tapi kami bantu ambilkan darah mereka dan hantar ke makmal swasta jika mereka mampu (bayar),” kata seorang doktor yang tak mahu dinamakan.

Terima, bukan tolak

Disember lalu, pertubuhan yang dipimpin transgende, Seend Foundation dan Galen Center for Health and Social Policy menerbitkan Garis Panduan Praktikal untuk Penjagaan Kesihatan Primer Khusus buat Trangender di Malaysia.

Ketua eksekutif Galen Centre Azrul Mohd Khalid berkata kerangka undang-undang bagi pengiktirafan isu-isu yang memberi kesan terhadap golongan transgender adalah penting untuk perkhidmatan mesra transgender.

“Apabila kewujudan komuniti ini tidak diiktiraf dengan baik dalam sistem penjagaan kesihatan, perkhidmatan yang sewajarnya sukar untuk dibentuk meskipun jika ia dilakukan secara bebas.

“Apabila kewujudan mereka tak diiktiraf, keperluan mereka juga tak akan diakui dan terus terbiar. Latihan terhadap pengamal perubatan harus juga merangkumi isu dan cabaran dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan yang mesra-trans,” katanya kepada Malaysiakini.

“Resam agama dan sosial yang menolak berbanding menerima, harus diketepikan. Ia tak ada tempat dalam persekitaran penjagaan kesihatan,” katanya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS