Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) sekali lagi menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) versi 2.0.
Saranan itu kata NUTP dibuat berdasarkan peruntukan masa jadualnya yang melebihi peruntukan tempoh layar maksimum untuk seseorang murid.
Menurut Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan, melalui panduan pelaksanaan jadual waktu PdPR 2.0, peruntukan masa yang ditetapkan adalah mulai jam 7.30 pagi hingga jam 1 tengah hari - iaitu lima setengah jam sehari.
Sedangkan katanya panduan tempoh layar maksimum oleh Akademi Pediatrik Amerika (AAP) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggariskan tempoh layar maksimum harian adalah seperti berikut:
- Prasekolah: 1 jam
- Sekolah rendah: 1 hingga 2 jam
- Sekolah menengah rendah: 2 hingga 3 jam
- Sekolah menengah atas: 3 hingga 4 jam
“Ini jelas menunjukkan KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) tidak mematuhi panduan tempoh layar maksimum tersebut,” kata Tan dalam kenyataan hari ini.
Untuk rekod, panduan tempoh layar maksimum berkenaan dimuatkan di dalam manual PdPR yang dikeluarkan sendiri oleh KPM tahun lalu.
Tan memberitahu NUTP menjalankan satu kaji selidik yang menyaksikan lebih 12,000 guru menolak PdPR versi 2.0, sebaliknya mereka berpendapat wajar PdPR 1.0 ditambah baik.
Dapatan kaji selidik itu mendapati, seramai 91.2 peratus daripada 13,946 responden - iaitu 12,718 orang - mahu PdPR 1.0 dikekalkan.
Amat kecewa NUTP tak dijemput
Menurut Tan, antara maklum balas yang diterima daripada guru ialah murid-murid belum boleh membiasakan diri untuk menghadapi kelas bagi tempoh 7.30 pagi hingga 1 tengah hari di hadapan komputer atau gajet.
Justeru mereka mencadangkan agar PdPR 1.0 ditambah baik dengan meningkatkan capaian internet, mengurangkan bilangan subjek dalam sehari, serta membuat penggiliran untuk murid sekolah rendah dan menengah bagi membolehkan mereka berehat.
Ini kata mereka ekoran ramai murid masih belum mempunyai peranti sendiri untuk PdPR terutama bagi keluarga berpendapatan rendah dan mempunyai ramai anak serta di kawasan luar bandar.
NUTP turut mengutip pandangan 16,554 responden ibu bapa dalam kaji selidik berasingan berkenaan PdPR 2.0 perkara sama turut dibangkitkan.
Ada ibu bapa daripada golongan B40 mengaku tertekan kerana terpaksa mendapatkan peranti tambahan untuk PdPR, dan ada murid yang terpaksa berkongsi peranti kerana bilangan adik-beradik yang ramai terutama jika berlaku pertindihan masa pembelajaran.
Ada juga ibu bapa mengadu berasa terbeban dan sukar membantu anak belajar, terutama yang tidak berpelajaran tinggi, manakala murid pula terbeban dengan lambakan kerja sekolah.
Murid juga dikatakan kurang faham apa yang diajar, sementara guru pula tidak dapat meneliti tahap kebolehan murid-murid.
“Sehubungan dengan ini, NUTP merayu campur tangan menteri kanan pendidikan menangguhkan PdPR versi 2.0 dengan mendengar rayuan dan mengambil kira rintihan murid, ibu bapa dan guru.
“Pihak NUTP juga berasa amat kecewa kerana pihak KPM langsung tidak menjemput wakil NUTP yang merupakan sebuah kesatuan guru yang terbesar dan mewakili seramai 230,000 suara guru dari peringkat akar umbi di seluruh Malaysia yang memperjuangkon hak, isu dan kebajikan warga pendidik.
“Semoga ada sinar buat semua anak murid untuk meneruskan PdPR dengan cara terbaik di musim norma baharu ini,” katanya lagi.