Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
4,868 warga asing lagi belum jalani saringan Covid-19 di T’ganu
Diterbitkan:  Feb 9, 2021 12:19 PM
Dikemaskini: 4:20 AM

Hanya 34 peratus atau 2,455 pekerja warga asing di Terengganu telah menjalani ujian saringan COVID-19 setakat ini, kata Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu Farihah Che Husin.

Beliau berkata seramai 4,868 pekerja warga asing pula masih belum menjalani ujian saringan tersebut.

“Terdapat seramai 7,323 pekerja warga asing kini bekerja di bawah 477 majikan di seluruh negeri dalam pelbagai sektor seperti pertanian, perhutanan, perikanan dan perladangan. Kita harap majikan segera melakukan saringan ke atas pekerja sebelum 28 Februari ini," katanya kepada Bernama di Kuala Terengganu.

Baru-baru ini, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan memaklumkan majikan yang gagal membuat ujian saringan COVID-19 terhadap pekerja asing hingga 28 Feb ini boleh menyebabkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) pekerja asing mereka tidak akan diperbaharui.

Dalam pada itu, Farihah berkata di bawah Program Saringan COVID-19 Bagi Pekerja Asing, Perkeso telah melantik 10 klinik panel untuk melakukan ujian saringan iaitu enam di Kuala Terengganu, dua di Kuala Nerus dan masing-masing satu di Kemaman dan Dungun.

Beliau berkata sebagai langkah proaktif memastikan majikan menyaring pekerja mereka, Perkeso menubuhkan pasukan ‘task force’ bersama Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan bagi mengingatkan mereka untuk menyaring para pekerja.

Farihah berkata selain itu, pasukan ‘task force’ berkenaan akan bekerjasama dengan beberapa lagi agensi berkaitan untuk mengadakan lawatan mengejut ke tempat tinggal warga asing bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi oleh mereka dan majikan.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS